MESKIPUN single anaknya, Ammara yang berjudul Slay menerima kecaman negara seberang, penyampai radio dan pelakon, Azad Jazmin menganggap kontroversi tersebut sebagai satu hikmah yang membuka pintu rezeki buat puterinya.
Menurut Azad atau nama lengkapnya Azad Jazmin John Louis Jefri, 50, kecaman tersebut secara tidak langsung menaikkan nama Ammara sehingga menarik perhatian industri hiburan Indonesia yang mula mengiktiraf bakat nyanyiannya.
“Ammara kena kecam sampai dijemput buat persembahan di Indonesia. Lagu dia secara tak langsung dah sampai ke sana kerana netizen sendiri yang perbandingan.
Dua minggu lalu Eira dan Ammara dah ke sana untuk sesi temu bual. Insya-Allah Merdeka nanti dia akan buat persembahan pula di Indosiar.
“Bagi saya apa yang berlaku sebenarnya bagus untuk dia walaupun pahit untuk budak umur 13 tahun telan,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran lagu KITA sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, semalam.
Pada masa sama, pelakon filem Gangster Celop itu memaklumkan pihak pengurusan Ammara dalam perbincangan dengan pengurusan kumpulan No Na yang dijangka bakal bekerjasama dalam sebuah projek.
“Setakat ini mereka belum berjumpa. Pengurusan kami masih berhubung menerusi e-mel.
“Semuanya bermula daripada perbandingan netizen tetapi bila mereka tengok Ammara, mereka baru tahu dia sebenarnya baru berusia 13 tahun.
Mungkin akan ada kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia, Ammara dengan No Na, kita tak tahu,” katanya lagi.
Sebagai individu yang berpengalaman luas, Azad sentiasa memberikan nasihat selain menyifatkan anak berusia 13 tahun itu sebagai seorang yang matang.
“Dia pernah tanya kenapa orang tak berhenti maki dia. Saya cakap jangan takut, tunggu bapa awak pula buat tular, nanti orang maki bapa awak balik.
“Dia dah tengok orang puji dan maki hamun saya, jadi dia belajar. Walaupun masih muda, dia matang untuk lalui semua itu,” ujarnya.
Sebelum ini, single terbaharu Ammara berjudul Slay mendapat perhatian netizen Indonesia selepas dibandingkan dengan lagu Rollerblade nyanyian No Na.
Perdebatan itu bermula menerusi komen dalam TikTok yang menyifatkan Slay lebih menarik berbanding Rollerblade.
Komen berkenaan kemudiannya mencetuskan perbandingan antara kedua-dua karya dari Malaysia dan Indonesia itu sehingga perbincangan semakin meluas dalam media sosial. – HIBGLAM
