‘Setahun simpan niat berhijab, masih dalam fasa mencuba’

PELAKON Zahirah MacWilson mendedahkan dirinya baru dua bulan mencuba untuk berhijab, malah mengakui masih melalui proses menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Ujar Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, keputusan untuk menutup aurat sudah lama tersemat dalam hati, namun dia memilih untuk tidak terburu-buru membuat sebarang pengumuman berkaitan perubahan penampilannya.

Bagi mereka yang  tertanya-tanya mengenai perubahan saya, sekarang saya berhijab dan masih mencuba. Saya belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penampilan atau soal keimanan kerana perkara ini sangat peribadi.

“Setiap orang mempunyai perjalanan spiritual masing-masing dan mengambil masa untuk melaluinya. Bagi saya, perkara ini masih baharu, tetapi saya menikmatinya dan alhamdulillah, masih dalam proses mencuba,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas detik mula mengenakan hijab, Zahirah berkata hasrat tersebut sebenarnya sudah lama tersimpan, malah niat berkenaan mula terbit sejak tahun lalu.

“Hasrat itu sudah lama ada, malah sejak tahun lalu. Cuma saya mula memakai tudung secara konsisten kira-kira dua bulan lalu.

Pada awalnya pakai kerana suka-suka. Saya pergi membeli barang dapur atau membuat rawatan kuku pun saya pakai. Lama-kelamaan, rasa selesa itu melekat,” ujarnya pada sesi fotografi Akasia: Sumpah Ayahku, hari ini.

Paling penting tegasnya, proses berkenaan masih jauh daripada sempurna, namun dia bersyukur kerana menerima banyak doa serta kata-kata positif daripada orang ramai.

Saya masih mencuba dan belum sempurna. Ini sebuah perjalanan serta proses peralihan. Saya belajar banyak perkara sepanjang melaluinya dan paling menggembirakan, ramai mendoakan perkara baik untuk saya.

“Saya menerima banyak mesej secara peribadi daripada netizen. Sokongan itu sangat bermakna. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” jelasnya.

Ditanya faktor mendorong perubahan tersebut, ibu dua anak itu bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan kisah di sebaliknya buat masa ini kerana menganggap perkara berkenaan terlalu peribadi.

Saya lebih selesa tidak berkongsi buat masa ini kerana perkara ini sangat peribadi. Insya-Allah, satu hari nanti saya mahu berkongsi keseluruhan cerita dan perjalanan ini.

“Sekarang saya masih dalam proses. Apabila sampai masa sesuai, saya akan kongsikan dan mudah-mudahan perjalanan ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” ungkapnya.

Menyentuh soal kerjaya, Zahirah mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran selepas mula mengenakan hijab kerana mahu memastikan pekerjaan diterima selari dengan prinsip serta hala tuju hidupnya.

Sebelum mula berhijab, saya menerima banyak tawaran. Sebagai manusia biasa, memang ada ketika saya berfikir sama ada mahu menerima pekerjaan itu dan mengetepikan dahulu niat ini.

“Namun selepas mula berhijab, saya memang terpaksa menolak beberapa tawaran. Bagi saya, rezeki datang daripada Allah. Saya percaya apa juga ditakdirkan untuk saya pasti akan sampai,” kongsinya.

Selain Zahirah, drama Sumpah Ayahku turut menampilkan pelakon seperti Faizal Hussein, Aiman Hakim Ridza, Shahz Jazle dan Intan Ladyana.

Terdahulu, perkongsian Zahirah mengenakan hijab ketika bercuti bersama keluarga di Bali, Indonesia mencuri perhatian netizen.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Zahirah tampil mengenakan busana serba coklat lengkap dengan hijab ketika bergambar bersama suaminya, pelakon Aiman Hakim Ridza, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai perubahan penampilannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok