JENAMA fesyen BLVCLOUD membuat debut perdana di pentas fesyen pada hari terakhir The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026 baru-baru ini.
Diasaskan oleh pelakon Farez Ridzwan, jenama ini menghimpunkan koleksi pakaian lelaki yang menggabungkan elemen mewah dan jalanan.
Koleksi ini menampilkan 10 rekaan yang diinspirasikan daripada nilai kekuasaan, kesetiaan dan legasi.
Warna hitam, putih dan kelabu menjadi nadi asas untuk jenama ini sekaligus membias aura lelaki maskulin yang tak lapuk dek zaman.
Bertepatan dengan tema tahun ini iaitu The Godfather, BLVCLOUD menyediakan pakaian siap pakai yang moden dan segar tetapi tetap kelihatan elegan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnyai iaitu Megat Farzurien Megat Jaafar, mereka membawa visi untuk membangunkan jenama tempatan setaraf dengan jenama antarahangsa.

“Di Malaysia, jenama fesyen untuk lelaki kurang diketengahkan. Kebanyakan pereka fesyen fokus kepada perempuan. Kecenderungan perempuan untuk berbelanja dalam fesyen juga lebih tinggi.
“Sebagai seorang lelaki, saya rasa situasi ini seperti tidak adil. Jadi saya rasa saya perlu lakukan sesuatu untuk kaum lelaki.
“Kami percaya jenama lokal juga mampu menjadi setanding dengan jenama antarabangsa. Sebab itu kami mementingkan kualiti dalam koleksi kami.
“Ini adalah pertunjukan fesyen pertama kami. Jadi rekaannya agak ‘bold’ dan berani. Untuk rekaan yang lain, kita mengetengahkan konsep ‘timeless’ yang lebih menjadi pilihan kaum adam yang sukakan sesuatu yang lebih ringkas.

Kongsinya lagi, selepas ini BLVCLOUD juga akan mengeluarkan koleksi pakaian sukan bagi memenuhi keperluan si jejaka aktif. – HIBGLAM
