PENGACARA Anugerah Juara Lagu ke-40, Naz Rahman mengumumkan tidak akan mengacara anugerah berprestij itu pada masa akan datang.
Menurut Naz atau nama lengkapnya Nazrudin Habibur Rahman, 48, menjadi pengacara AJL selama dua tahun berturut-turut adalah pengalaman bermakna buatnya dan sudah tiba masanya dia memberi peluang kepada wajah baharu.
“Saya berbangga dapat menjadi pengacara AJL selama dua tahun berturut-turut bersama Sissy Iman.
“Saya ingin umumkan saya tidak akan kembali menjadi pengacara AJL pada masa akan datang.
“Usia saya juga sudah lanjut. Saya mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu pula merasai peluang ini,” katanya sebelum mengumumkan keputusan pemenang.
Sissy yang berada di sebelah dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis sebaik mendengar pengumuman Naz.
Gandingan Naz dan Sissy yang dipilih menjadi pengacara AJL39 tahun lalu mendapat pujian ramai biarpun pada awalnya dipertikai ramai.
Tahun ini mereka sekali lagi dipilih untuk mengendalikan AJL40 yang disiarkan secara langsung di TV3. – HIBGLAM
