PELAKON Julia Farhana Marin menepis dakwaan segelintir pihak mengatakan dirinya mengalami kemurungan apabila memilih untuk menanggal hijab selepas berdepan kemelut rumah tangga dengan suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum sejak setahun lalu.
Menurut Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 32, keadaan kesihatan mentalnya masih dalam keadaan baik namun tidak menafikan berasa sedih dengan ujian yang sedang dilaluinya.
“Alhamdulillah saya okey dan tidak depresi. Perasaan sedih itu normal, saya rasa setiap manusia berdepan dengan perkara mengejutkan akan melalui proses perlu hadam dengan perkara.
“Daripada hidup berdua, sekarang saya perlu lalui semua seorang hampir setahun banyak perkara perlu fikir seorang diri daripada masalah perkahwinan, kerjaya sehinggalah hidup saya.
“Sedih sebab saya hanya manusia biasa. Apa yang saya lalui sudah tentu ada perasaan itu tetapi kalau nak kata saya depresi itu tidaklah,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media Astro 30 Thank You Malaysia, semalam.
Ujarnya, dia meminta orang ramai memberikan sedikit ruang untuk bertenang dan menitipkan doa terbaik buat dirinya.
Julia menambah, orang ramai tidak sepatutnya menjatuhkan hukum terhadapnya sesuka hati sebelum mengetahui dirinya juga bergelut melalui pelbagai perkara dalam hidup ketika ini.
“Tiada apa boleh diulas mengenai isu ini sebab hanya saya seorang sahaja yang lalui dan faham semua perkara yang berlaku.
“Perkara yang saya harapkan adalah meminta orang ramai doakan yang baik-baik.
“Jangan menghakimi untuk semua perkara saya lalui sebab itu adalah satu proses dan fasa yang saya sendiri pun tidak sepenuhnya dapat hadam lagi. Saya perlukan masa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perkongsiannya dalam platform Threads baru-baru ini yang mendakwa imej tidak bertudung adalah kehidupannya ketika ini, Julia berkata perkara tersebut adalah perspektif dirinya.
“Itu adalah perspektif masing-masing, tetapi sebenarnya konteks gambar dengan kapsyen itu berbeza.
“Kapsyen itu mengenai diri saya sendiri dan tiada kena-mengena langsung dengan penampilan tidak bertudung atau sebaliknya.
“Orang akan menghakimi apa sahaja yang saya buat dalam media sosial dan tidak akan boleh ubah pandangan mereka, lumrah.
“Cuma apa yang boleh saya katakan, ini adalah satu proses dan saya juga memang tidak membaca langsung komen-komen netizen, lebih baik elak,” ujarnya.
Terdahulu, Julia mencuri perhatian ramai apabila dia dilihat tidak lagi memakai berhijab menerusi beberapa hantaran media sosial.
Ramai mendakwa penampilan tersebut disebabkan tekanan yang dilalui sepanjang melalui pergolakan rumah tangga dengan Dr. Che Hafiz. – HIBGLAM
