‘Dunia rasa terbalik, kesetiaan dibalas dengan kezaliman, kecurangan’

PELAKON Lufya Omar mendedahkan pernah mengalami tekanan dan perubahan fizikal selepas perceraiannya dengan bekas suami, Dr. Che Muhammad Hafiz.

Pemilik nama lengkap Lutfyah Sheikh Omar, 41, turut memberi gambaran pengorbanan serta kesetiaannya dalam perkahwinan sebelum ini berakhir dengan perbuatan zalim dan kecurangan.

“Selepas perceraian enam tahun dahulu saya tertekan, saya gemuk kerana untuk gembira saya makan banyak. Sangat kecewa sebab meninggalkan karier, setia dalam perkahwinan sebelum ini tapi dibalas dengan kezaliman dan kecurangan.

“Dunia ini macam rasa dah terbalik. Kehidupan yang dijalani tidak seperti yang dicemburui ramai, pintu hati saya ditutup buat selamanya.

“Tekanan kanan, kiri, atas dan bawah. Ketika itu saya buat keputusan untuk fokus perbaiki diri, nak besarkan anak dan jaga keluarga sahaja,” katanya dalam Instagram.

Pada masa sama, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu mengakui hasrat untuk mencari rezeki dalam bidang lakonan demi menyara keluarga turut berdepan jalan buntu apabila syarat ditetapkan menuntutnya menanggalkan tudung.

“Saya nak kembali berlakon tapi tawaran yang datang menginginkan saya buka hijab.

“Saya tertekan dengan keadaan dan kewangan. Satu hari saya berdoa pada Allah, ‘Ya Allah jika keputusan melepas hijab ini kau tidak reda, maka bantulah aku mencari rezeki yang halal. Pandaikan lah aku meniaga’,” luahnya.

Sejak itu, Lufya memilih untuk bangkit menerusi perniagaan makanan dan memaksa dirinya belajar menghasilkan kek  demi kelangsungan hidup bersama anak.

“Suatu hari mama suruh saya jual kek orang iaitu kek durian. Makin lama makin laris sampai yang dah buat kek penat dan tak mampu buat.

“Saya dipaksa belajar sendiri. Sampai tiga ke empat lagi datang belajar pun tak pandai-pandai sebab saya tidak minat.

“Saya paksa diri sampailah sekarang dah jatuh cinta dengan pembuatan kek, macam-macam saya boleh buat,” jelasnya.

Terdahulu, Lufya bercerai dengan Dr. Che Muhammad Hafiz pada 17 Jun 2020 dan dikurniakan seorang anak bernama Laana Haura.

Dr. Che Muhammad Hafiz kemudian berkahwin dengan pelakon Julia farhana pada 14 Disember 2022.

Namun, kini mereka dalam proses perceraian selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok