Berjimat, Juliana Evans tak kisah guna barangan bayi terpakai

HANYA berbaki dua bulan sebelum melahirkan anak ketiga, pelakon Che Puan Juliana Evans mengeluarkan semula kelengkapan bayi yang disimpan sejak tiga tahun lalu sebagai langkah penjimatan.

Juliana atau nama sebenarnya, Juliana Sophie Johari Evans, 37, berkata, kebanyakan barangan bayi yang pernah digunakan untuk anak sulungnya masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan semula.

“Sekarang saya hanya mempunyai dua bulan lagi sebelum bersalin. Saya sudah mula mengeluarkan semula semua barangan bayi yang disimpan di dalam stor sejak tiga tahun lalu.

“Syukur, kebanyakan barangan itu masih saya simpan. Jadi, saya ingin kongsikan beberapa tip yang boleh membantu anda berjimat apabila mempunyai bayi,” katanya dalam hantaran di Threads.

Menurutnya, ibu bapa yang bakal menimang bayi kedua atau seterusnya boleh menggunakan semula kelengkapan yang pernah dibeli sebelum ini selagi selamat digunakan.

“Jika ini bukan anak pertama, gunakan semula setiap barangan yang pernah anda miliki atau beli sejak anak pertama.

“Pastikan semuanya disimpan dengan baik, bersih dan masih boleh digunakan,” ujarnya.

Pelakon drama Impian: Karma itu juga menitipkan pesanan kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata pertama agar jangan malu menerima barangan bayi terpakai daripada keluarga atau kenalan rapat.

“Jika ini anak pertama anda, terimalah barangan bayi terpakai daripada keluarga, rakan-rakan, adik-beradik serta ipar-duai.

“Cara ini sememangnya banyak membantu saya berjimat daripada perlu membeli barangan baharu.

“Tidak mengapa menggunakan barangan terpakai kerana sesetengah barangan bayi hanya digunakan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Terdahulu, sekitar Jun lalu, Juliana berkongsi khabar gembira mengenai kehamilannya.

Aktres berdarah campuran Melayu, Britain dan Amerika Syarikat itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan juga kerabat DiRaja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 30 April 2017.

Hasil perkongsian itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 7, dan Tengku Saidatul Ihsan Zabedah Fauziah Putri, 3 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok