ENGGAN bersikap hipokrit, pempengaruh Kasih Iris Leona mengakui kini mengamalkan pengambilan GLP-1 (Glucagon-Like Peptide-1) iaitu ubat yang merawat penyakit diabetes dan membantu penurunan berat badan.
Leona, 24, memaklumkan ubat tersebut diambil di bawah pemantauan doktor selepas menjalani pelbagai pemeriksaan perubatan secara menyeluruh.
“Saya tahu ramai yang komen pasal penurunan berat badan saya kebelakangan ini dan saya tak naklah berlagak seolah-olah saya buat semua ini secara semula jadi sebab memang tak.
“Saya dah ambil GLP-1 sejak dua bulan lepas. Ini semua dibuat selepas saya jalankan pemeriksaan kali ketiga untuk BMI, peratusan lemak dan ujian darah, saya seorang yang sangat menitikberatkan kesihatan.
Saya memang kerap ke hospital untuk buat pemeriksaan, dah periksa tiroid, hati dan jantung. Saya dapat kebenaran daripada semua doktor saya untuk ambil GLP-1 sebab sebelum ini saya ‘overweight’ dan kolesterol tinggi,” katanya dalam TikTok.
Pada masa sama, anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu mendedahkan bahawa dia mempunyai sejarah kesihatan keluarga yang mendorongnya untuk lebih berwaspada.
“Saya tiada pradiabetes, tapi saya ada sejarah kencing manis dalam keluarga.
“Hati saya pun ada banyak sel lemak sebelum ini tapi alhamdulillah dah makin berkurangan sejak saya mula ambil GLP-1.
“Jadi saya buat keputusan untuk ambil GLP-1 ini demi untuk jadi lebih sihat. Setakat ini semuanya berjalan dengan sangat baik,” katanya lagi.
Tegas Leona, penggunaan ubat berkenaan bukannya lesen untuk beliau berlapar, sebaliknya perlu disusuli dengan gaya hidup yang sihat agar memberikan kesan yang optima.
Penurunan berat badan saya bukannya sebab saya berlapar. Saya cuma ambil GLP-1 dan mestilah hanya akan berkesan kalau kita ubah gaya hidup juga.
“Jadi saya memang berusha untuk amalkan gaya hidup yang lebih sihat,” ujarnya.
Bagaimanapun, Leona tidak menggalakkan orang ramai mengambil ubat berkenaan sewenang-wenangnya lebih-lebih lagi tawaran ubat kurus palsu.
“Tapi ini cuma peringatan daripada saya untuk anda semua, jangan ambil jalan pintas dan terbeli GLP-1 palsu.
“Kalau harganya terlalu murah hingga tak masuk akal, kemungkinan besar itu produk palsu dan boleh membahayakan kesihatan anda.
“Jadi tolong berjumpa dengan doktor pakar dan pergi ke klinik yang berlesen,” jelasnya.
Sebelum ini, ramai memuji transformasi bentuk badan Leona yang dilihat semakin kurus. – HIBGLAM
