Rocky ‘ajar’ selebriti periksa fakta sebelum bersuara

HANYA dengan kematian seekor anjing mampu menggegarkan industri hiburan.

Itu yang berlaku sejak Sabtu lalu apabila kes kematian seekor anjing bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, ‘menelanjangkan’ pekung banyak pihak baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika operasi menangkap anjing liar yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama penduduk taman pada pukul 10.50 malam, 29 Julai lalu.

MBDK dalam kenyataannya memaklumkan, seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau, selain mengugut akan mencederakan diri sendiri sekiranya haiwan berkenaan tidak dilepaskan.

Menurut MBDK, tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku menyukarkan anggota penguat kuasa melonggarkan serta melepaskan peralatan tangkapan demi keselamatan haiwan itu sehingga menyebabkan anjing tersebut mati.

Insiden tersebut turut mencetuskan perhatian memandangkan Taman Teluk Gedung Indah sebelum ini berdepan isu kebanjiran anjing liar sehingga mengakibatkan seorang pemuda koma lebih seminggu selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika dikejar sekumpulan haiwan tersebut pada 13 Julai lalu.

Bukan hanya mendapat perhatian orang awam, isu berkenaan turut disuarakan golongan selebriti.

Nabila Huda antara selebriti terawal yang meluahkan rasa kecewa dan merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberi perhatian terhadap kes penderaan haiwan yang disifatkan semakin membimbangkan.

Assalamualaikum Perdana Menteri. Saya tahu anda mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk negara ini tetapi, tolong dengar suara kami.

“Hati dan jiwa kami remuk setiap kali melihat haiwan didera, diseksa dan dibunuh dengan begitu kejam. Sampai bila mereka perlu menderita tanpa pembelaan?” katanya dalam Threads.

SHERRY antara artis tempatan yang berdepan kecaman hebat netizen.

Pada masa sama, Sherry Ibrahim mengakui isu berkaitan penderaan dan penganiayaan haiwan memberi impak besar terhadap emosinya.

Saya bukan berniat menyalahkan mana-mana pihak cuma isu berkaitan penganiayaan (haiwan) memang sangat memberi kesan kerana saya seorang yang sayangkan haiwan, tidak kira apa jenis sekali pun.

“Saya tiada masalah untuk menurunkan status tersebut. Namun, saya berharap pihak berwajib terlebih dahulu dapat mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada ketika itu.

“Sekurang-kurangnya tindakan sudah diambil,” katanya dalam platform Threads.

Begitu juga dengan Kilafairy yang turut kecewa apabila dikatakan terdapat seekor anjing yang mati sehingga membuatkannya mengeluarkan kata-kata yang terlalu kasar.

Mohon maaf

Selain itu, beberapa selebriti tanah air lain yang turut bersuara ialah Yuna, Mekyun dan Atikah Suhaime, namun memutuskan untuk memadam hantaran tersebut.

Selepas meyedari hantaran tersebut mengundang kemarahan ramai kerana menyalahkan kakitangan yang bertugas, Mekyun dan Atikah tampil memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan.

“Saya ingin memohon maaf atas video dan kenyataan yang saya keluarkan berkenaan kes Rocky baru-baru ini.

Saya sedar pada waktu itu saya terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan info yang orang kongsi kepada saya dan hanya melihat daripada satu pihak sahaja.

“Saya sepatutnya memberi ruang untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak serta menunggu siasatan dan fakta yang lengkap sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata Mekyun dalam Threads.

MEKYUN mengakui khilaf berkongsi perkara yang tidak tepat di lapangan sosial media.

Atikah turut melakukan perkara sama dan mengakui bersalah selepas menyedari dirinya terpedaya dengan maklumat tidak tepat.

Baru baca keseluruhan kronologi, sumpah bodohnya aku. Lelaki itu tidak salah pun, dia hanya menjalankan tugasnya.

“Wanita itu yang tidak memberikan kerjasama sehingga menyebabkan anjing itu menjadi mangsa keadaan.

“Jujurnya sebagai pencinta haiwan bila pagi-pagi nampak orang sebar fasal lelaki itu, memang saya marah gila.

“Tapi tidak sangka, itu bukan cerita sebenar,” katanya.

Selepas beberapa hari dikecam, Kilafairy akhirnya membuat permohonan maaf berhubung keterlanjuran berkata-kata selain berharap kes tersebut akan dikendalikan dengan adil.

“Saya nak meminta maaf atas pemilihan kata-kata yang digunakan dalam Threads beberapa hari lepas.

Minta maaf ya semua, saya hanya manusia biasa, tidak sempurna dan masih lagi belajar untuk menjadi individu lebih baik setiap hari.

Insiden tersebut sekali gus membuka mata ramai terutama selebriti untuk menyemak segala maklumat dan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan atau kecaman.

Terlanjur kata boleh membawa padah lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial yang ‘jejaknya’ kekal di sanubari ramai.

Malah, budaya masyarakat Malaysia yang memboikot juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelangsungan karier seseorang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok