‘Susah kawal rasa gemuruh, tangan sejuk di belakang pentas’

PENYANYI yang juga peserta Big Stage Rocketfuel Danny mengakui perasaan gemuruh masih menjadi cabaran terbesar buat dirinya setiap kali beraksi di atas pentas.

Danny, 24, berkata, buat ketika ini, dia masih belajar cara untuk menangani perkara tersebut bagi memastikan tidak memberi kesan besar terhadap mutu persembahan.

“Saya memang ada masalah gemuruh yang susah nak dikawal, ketika di belakang pentas, tangan memang sejuk sepanjang masa.

“Harap bila dah berjaya ke pentas separuh akhir ini, rasa gugup dan gemuruh itu akan perlahan-lahan berkurangan.

“Sebenarnya lebih kepada berdebar untuk bertanding, bukan menyanyi,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Dalam pada itu, dia berkata, tiada pengalaman menyertai pertandingan besar turut menjadi faktor mengapa rasa gemuruh itu sukar hilang.

“Saya tak pernah masuk pertandingan seperti orang lain, tiba-tiba dapat pentas besar macam begini, memang rasa takut.

“Kemudian selepas tengok peserta lain dah mula tunjuk ‘taring’ masing-masing, saya jadi lebih gementar.

“Insya-Allah minggu ini saya akan cuba tunjuk ‘taring’ pula dengan lagu tradisional,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai kedudukan  tiga tercorot pada konsert suku akhir semalam, dia bersyukur kerana tiada sebarang penyingkiran berlaku.

“Sebenarnya saya menjangkakan akan tersingkir kerana persembahan kurang memuaskan.

“Namun, rasa sangat lega apabila tiada penyingkiran diumumkan. Dapat melangkah ke peringkat separuh akhir pun saya dah bersyukur,” ujarnya.

Selain Danny, tujuh lagi peserta yang bakal berentap di pentas separuh akhir terdiri daripada Ranisha, Adam Nazmie, Qilo, Hussain, Yad-Z, Aliff Kimiey dan Danial Kifli.

Kesemua peserta diadili tiga juri tetap iaitu Hael Husaini, AKim Ahmad dan Aisha Retno. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok