‘Sekiranya hubungan kami ke fasa seterusnya, saya akan maklumkan’

DIKECAM gara-gara memuat naik foto mesra dengan teman lelaki, pelakon Diana Danielle memilih untuk tidak ambil pusing kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, pendekatan itu diambil bagi menjaga kesihatan mental dan emosinya.

“Sebenarnya tak sedar ( komen netizen) sebab saya cuba untuk tidak pedulikan kata-kata orang tak kira baik atau buruk.

“Lagipun, kehidupan saya sekarang sudah seperti berada dalam ‘bubble’ sendiri.

“Memang ada terpandang komen-komen netizen kerana itu akaun Threads saya, tetapi saya bukan jenis mencari komen atau membiarkan diri terkesan dengan apa orang kata,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya Terbang, semalam.

Dalam masa sama, pelakon filem Imaginur itu menganggap perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam masyarakat.

“Pasti akan ada yang suka dan ada yang benci tetapi saya akan sentiasa membalasnya dengan tenaga yang positif.

“Sepanjang berada dalam industri seni, saya sentiasa cuba memberikan fokus terhadap kerjaya, selain berkongsi sedikit perkembangan peribadi.

“Saya faham jika sesetengah pihak rasa kurang selesa tetapi bagi saya inilah hakikatnya,” katanya lagi.

Tambahnya, ujian atau teguran yang diterimanya kali ini dianggap kecil malah terbuka menerima nasihat membina demi kebaikan dirinya.

“Saya rasa pengalaman lalu lagi hebat, yang ini tak ada apa-apalah. Ini orang kata cuit-cuit sahaja dan saya sangat sayangkan peminat walaupun ada antaranya rasa tak puas hati dengan saya atau apa pun sebab apa mereka tegur itu betul.

“Apa yang betul, kita ambil dan perbaiki diri. Dalam hidup ini, kita tidak boleh sentiasa betul.

“Bagi sesiapa yang kurang selesa, tiada apa yang boleh saya lakukan, terus skrol sahaja. Namun, segala nasihat yang baik tetap saya terima. Kita tidak boleh terlalu angkuh dalam hidup.

“Apa yang bagus itu saya ambil, simpan dalam ingatan dan perbaiki apa yang patut,” jelasnya.

Disoal mengenai perancangan untuk melangkah ke fasa perkahwinan, Diana memaklumkan akan berkongsi berita baik apabila tiba waktu yang tepat.

“Buat masa ini belum lagi (bawa hubungan ke tahap lain). Saya berharap pihak media tidak terus mendesak mengenai perkara ini.

“Saya dah berjanji, sekiranya ada sebarang perkembangan atau jika hubungan kami bakal melangkah ke fasa seterusnya, saya sendiri yang akan maklumkan.

“Jadi, tiada sebab untuk soalan ini terus ditanyakan,” ujarnya.

Sebelum ini, Diana memuat naik foto merangkul lengan teman lelakinya dalam Threads.

Tindakan itu menyebabkan ramai netizen tampil mengkritik kemesraan yang ditonjolkan kerana menganggap aktres berkenaan berkelakuan seperti sudah mendirikan rumah tangga. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok