Layan Threads, kaki saya terseliuh, bunyi ‘krak’ -Sharifah Sakinah

PELAKON Sharifah Sakinah terpaksa menanggung kesakitan apabila mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kaki kirinya akibat terjatuh di kediamannya ketika menggunakan telefon bimbit tiga minggu lalu.

Menurut Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 37, dia tetap komited dengan setiap jadual kerja walaupun doktor memintanya berehat.

Semuanya berlaku ketika saya main telefon layan Threads, tiba-tiba jatuh dan kaki saya terseliuh sebelum dengar bunyi ‘krak’. Sama ada patah atau ligamen koyak, itu antara saya dengan doktor tetapi jatuh biasa saja.

“Doktor memang suruh berpantang, tetapi saya tak boleh sebab komitmen kerja sangat tinggi, perlu pergi siri jejalah filem dan macam-macam.

“Buat masa sekarang saya cuma cuba kurangkan pergerakan. Sebelum ini saya tak pernah alami kecederaan begini, kiranya paling teruklah,“ katanya yang ditemui pada majlis tayangan gala filem Tiket Sehala di sini, semalam.

Hadir ke acara dengan berkerusi roda, dia disarankan doktor untuk menjalani pembedahan dan fisioterapi namun memilih untuk pulih secara semula jadi.

Sakinah menambah, itu merupakan kecederaan fizikal paling serius pernah dialaminya.

“Saya pernah buat babak aksi tak pernah cedera tapi tengah main media sosial jatuh pula.

Saya percaya buku lali ini akan sembuh dengan sendiri dan tahu apa yang saya perlu lakukan dengan badan sendiri.

“Sebab saya kena bekerja sehingga tua kalau panjang umur dan karakter saya banyaknya agresif jadi kena betul-betul sembuh,” katanya lagi.

Dalam masa sama dia berkata, insiden tersebut menyedarkannya agar tidak lagi terlalu obses menjaga badan kerana sebarang kemalangan boleh menghentikannya segala-galanya.

“Saya memang bangun setiap pagi untuk bersukan tapi bila jadi begini, saya rasa sedih kenapa tak boleh bergerak dan berjalan.

“Benda ini semua ada sebab, mungkin sebab sebelum ini kita tak bersyukur atau terlalu mengejar kesihatan badan.

Sebelum ini saya terlampau mahu menjaga badan dan sekarang mungkin Allah SWT suruh memperlahankannya serta jangan terlalu obses dengan apa yang ada di dunia ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Sakinah bakal muncul dalam filem arahan Rahila Ali, berjudul Tiket Sehala yang diinspirasikan daripada kisah benar iaitu mengenai sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Filem bergenre ‘survival thriller’ yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos ini itu dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Noki K-Clique. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok