’Siti selalu timang, sekarang Odda jadi anak luar biasa’

PENGACARA dan penyampai radio Sharifah Shahirah tidak dapat menahan sebak melihat perjalanan seni dan kejayaan anaknya yang juga penyanyi, Auddra atau Odda sehingga berjaya muncul dengan single pertama berjudul Gelanggang Rasa.

Menurut Shahirah atau mesra disapa sebagai Shiera, 51, dia berterima kasih kepada Biduniata Negara yang juga pemilik SN Legacy Sdn. Bhd. iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana membantu merealisasikan impian Odda untuk memiliki single sendiri.

Saya agak sebak, lebih-lebih lagi ketika sesi bacaan doa. Sebelum ini, ayat yang saya doa biasa saja tetapi bila ustaz sebut nama Odda dengan jelas, itu buatkan saya semakin sebak.

“Terima kasih Siti Nurhaliza. Pada usia sekarang ini, hati saya lebih mudah tersentuh dan rasa sangat bangga dengan Odda,” katanya kepada HibGlam pada majlis sidang media pelancaran Gelannggang Rasa di sini, semalam.

Dia juga menzahirkan penghargaan kepada Siti Nurhaliza kerana sudi menerima Odda sebagai salah seorang penyanyi di bawah naungan SN Legacy.

“Saya terharu kerana Siti sudi menerima Odda tetapi semua ini menjadi realiti sebab Odda juga berusaha untuk capai impiannya sejak kecil.

“Mungkin Odda juga sudah terdedah dan perhatikan perjalanan seni saya dan ahli keluarga lain sejak kecil.

Saya tahu DNA saya tergedik-gedik dan jangan cakap dia kenapa bukan macam Siti sebab dia tiada DNA penyanyi itu. Namun, saya tak boleh nak tutup mulut orang, jadi faham-fahamlah DNA kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia juga menyifatkan perjalanan seni Odda yang kini berpeluang bekerja bersama Siti Nurhaliza seperti sama dengan momen ikonik atlet legenda bola sepak, Lionel Messi memandikan pemain remaja Sepanyol, Lamine Yamal ketika masih bayi.

“Bila lihat momen Odda ketika ini, saya terus teringat pada Yamal yang pernah dimandikan oleh Messi ketika dia masih bayi. Sekarang, dia pula menjadi bintang dunia.

Seperti sama dengan Odda, ketika dia masih kecil, Siti selalu mendukung dan menimangnya. Saya ingatkan Odda hanyalah anak yang biasa saja tetapi sekarang sudah jadi luar biasa.

“Kalau nak tahu, Siti juga hadir pada majlis cukur jambul dan hari lahir Odda. Jadi, saya nak syorkan kepada ibu bapa di luar sana, bawalah anak-anak bertemu golongan agamawan atau sesiapa sahaja yang kalian idolakan dan minta mereka belai anak kalian,” ujarnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok