DIANGGAP kurang popular berbanding rakan seperjuangan lain meski memiliki bakat lakonan hebat, aktor Gambit Saifullah menegaskan dirinya tidak menjadikan kemasyhuran sebagai ukuran kejayaan dalam kerjayanya.
Ujar Gambit atau nama sebenarnya Mohd. Saifullah Rosli, 40, setiap pelakon mempunyai matlamat berbeza, manakala kepuasan terbesar buat dirinya hadir apabila mampu menyentuh emosi penonton menerusi setiap watak.
“Kalau saya berlakon drama popular di slot Akasia sekali pun, mungkin penerimaannya berbeza. Itu perkara biasa.
“Namun apa yang saya kejar tidak sama. Sebagai pelakon, kepuasan paling besar adalah apabila saya dapat berkongsi emosi dan menggerakkan hati penonton. Itu lebih bermakna buat saya,” katanya kepada HibGlam. ‘
Tambah bintang drama Pinjaman Syurga itu, setiap anak seni berhak menentukan hala tuju sendiri sama ada mengejar populariti, ganjaran lumayan atau kepuasan berkarya tanpa wujud ukuran betul atau salah.
Paling penting, dia berharap setiap karya dihasilkannya mampu memberi impak positif kepada masyarakat serta menyumbang kepada perkembangan industri seni tempatan.
“Semua orang ada sasaran masing-masing. Mungkin ada memilih populariti, ada mengejar wang dan juga mengutamakan karya. Tiada betul atau salah.
Saya pula memilih berdasarkan apa yang saya mahukan. Saya amat menghargai sokongan diberikan, tetapi tidak terlalu mengharapkan populariti kerana pada akhirnya saya mahu berlaku jujur terhadap diri sendiri dan kepada Allah.
“Saya cuma berharap apa sahaja karya saya dapat memberi sedikit sumbangan kepada pembangunan kehidupan masyarakat di Malaysia. Itu sudah cukup bermakna buat saya,” ujarnya pada tayangan gala filem Mojoku Hilang!, kelmarin.
Sebelum ini, nama Gambit menjadi bualan netizen dalam Threads apabila ramai menyifatkannya antara aktor paling berbakat, namun kurang menerima pengiktirafan dan populariti setimpal.
Dalam perkembangan lain, Gambit membintangi filem Mojoku Hilang! arahan Min Lim yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.
Naskhah terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu turut menampilkan Adipati Dolken, Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Tony Eusoff. – HIBGLAM
