DI sebalik kejayaan pembukaan cawangan kedua restoran, pempengaruh dan usahawan, Ashhry Atan mengakui perjalanan ditempuh bukan mudah apabila pernah berdepan gangguan sihir serta menjadi mangsa rompakan.
Ujar Ashhry, pengalaman pahit tersebut berlaku ketika mengusahakan cawangan pertamanya di Nongchik Riverside, Johor Bahru sehingga hampir menggugat emosi serta operasi perniagaannya.
Menurutnya, pelbagai kejadian pelik mula berlaku selepas restorannya semakin mendapat sambutan pelanggan.
“Ya Allah, bila bercakap tentang sihir dan rompakan, memang banyak air mata menjadi saksi perjalanan saya.
“Ketika baru setahun lebih membuka Ashhry Shoshedap Nongchik Riverside, pelanggan semakin bertambah daripada tujuh meja sehingga mencecah puluhan meja. Masuk tahun kedua, saya diuji dengan gangguan sihir.
Orang campakkan telur, benang bergumpal dan duit syiling di depan serta dalam kedai. Staf pula hari-hari bergaduh tanpa sebab, pelanggan membawa anak kecil menangis, malah ramai mengadu rasa panas apabila masuk ke restoran,” katanya.
Ash kemudian mendapatkan bantuan ibunya untuk mencari ikhtiar perubatan Islam selepas dimaklumkan terdapat unsur gangguan mistik di premis tersebut.
“Saya beritahu mak, kalau boleh carikan orang untuk berubat. Alhamdulillah kami terus bertawakal kepada Allah, solat dan berdoa tanpa henti.
“Lama-kelamaan gangguan itu hilang selepas kami mendapatkan rawatan. Itu antara ujian paling pahit pernah saya lalui,” ujarnya.
Belum sempat melupakan episod tersebut, Ashhry sekali lagi diuji apabila restoran berkenaan dipecah masuk perompak kira-kira sebulan lalu.
Menurutnya, suspek memecahkan pintu kaca menggunakan parang sebelum melarikan wang tunai daripada laci kaunter pembayaran.
Pukul 3.48 pagi dia tetak pintu kaca, masuk cari wang dalam laci. Mujur kami cuma tinggalkan wang kecil sekitar RM600 sebagai duit tukar.
“Kerugian keseluruhan hampir RM5,000 termasuk menggantikan pintu kaca. Nasib baik kami ada perlindungan insurans dan lebih melegakan, polis Johor berjaya memberkas suspek selepas dua atau tiga hari.
“Apabila tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memang sedih. Selama berniaga tak pernah berlaku perkara macam itu. Namun saya percaya setiap ujian ada hikmahnya,” ujarnya.
Ashhry bagaimanapun melihat segala dugaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus mengembangkan jenama Ashhryshoshedap.
Kini, Ashhry meneruskan langkah lebih besar apabila membuka cawangan kedua Ashhryshoshedap R&F di Princess Cove, Johor Bahru yang berinspirasikan seni bina Mediterranean Santorini.
Menurutnya, konsep berwarna biru dan putih itu lahir daripada impiannya untuk mengunjungi Santorini, Greece yang tidak kesampaian akibat pandemik Covid-19 pada 2020.
Cawangan kedua berkapasiti sekitar 100 pelanggan, manakala premis pertama di Nongchik Riverside mampu memuatkan kira-kira 300 pelanggan pada satu-satu masa.
Untuk rekod, restoran Ashhryshoshedap pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 dengan hidangan popular seperti nasi telur masin, spageti telur masin, asam pedas ikan pari serta pencuci mulut unik, Kura-Kura Mencintaimu. – HIBGLAM
