‘Jangan ukur pelakon pada jumlah pengikut, kena bagi peluang’

DIKRITIK teruk kerana didakwa gemar mengetengahkan pelakon lama atau kurang popular dalam media sosial, penerbit Jaja Ishak menegaskan pemilihan aktor dibuat berdasarkan kredibiliti serta kesesuaian watak, bukannya jumlah pengikut.

Ujar Jaja atau nama sebenarnya Surja Khairul Ishak, 44, kejayaan sesebuah drama bukan bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya dipacu jalan cerita serta kesungguhan seluruh pasukan produksi.

“Setakat ini, drama-drama terbitan saya walaupun dibarisi pelakon baharu atau mereka yang tidak mempunyai jutaan pengikut di media sosial, Alhamdulillah tetap mendapat sambutan.

“Kalau kita ada niat yang baik, sistem sokongan kukuh, bantuan rakan-rakan media dan jalan cerita menarik, saya percaya drama itu mampu berdiri setanding karya terbitan penerbit lain,” katanya kepada HibGlam.

Bakal tampil dengan drama Sepenuh Hati Rindu terbitan TV3, Jaja mempertaruhkan gandingan Shahz Jaszle dan Farah Nabilah meskipun ada pihak menyifatkan kedua-duanya sudah tidak lagi berada di kemuncak populariti.

“Saya percaya setiap pelakon ada kredibiliti masing-masing. Shahz Jaszle, Farah Nabilah dan Syafie Naswip misalnya, mungkin sudah lama tidak muncul secara berturut-turut di layar televisyen, tetapi mereka masih mempunyai kekuatan.

“Saya buat kajian dan berbincang dengan pihak stesen televisyen. Kami melihat nama-nama yang pernah popular suatu ketika dahulu wajar diberi peluang untuk kembali menyerlah.

“Saya yakin teori ini mampu meledakkan drama yang sedang kami hasilkan. Kami gabungkan pelakon baharu, pelakon pembantu berpengalaman, lokasi fresh dan pasukan produksi yang bekerja bersungguh-sungguh bagi menghasilkan karya terbaik,” ujarnya.

Mengulas jalan cerita Sepenuh Hati Rindu, Jaja berkata, naskhah tersebut mengetengahkan konflik kekeluargaan berteraskan realiti masyarakat tanpa bergantung kepada unsur sensasi atau kontroversi.

“Cerita ini berdasarkan idea asal penulis skrip tentang cinta tiga segi yang tidak disengajakan apabila seorang suami hilang, isterinya kemudian bertemu jodoh baharu, namun beberapa tahun kemudian suami itu kembali.

“Kami mahu mengupas bagaimana situasi seperti itu boleh diselesaikan sekiranya berlaku dalam masyarakat. Walaupun kes seperti ini jarang berlaku, orang ramai tetap perlu diberi pendedahan supaya tidak keliru,” katanya.

Tambahnya, dia lebih selesa menghasilkan karya dekat dengan kehidupan sebenar berbanding mengejar isu sensasi atau trend semasa.

“Ada penerbit gemar mengangkat kisah yang sedang tular atau isu semasa. Saya pula lebih suka menghasilkan cerita realiti masyarakat.

“Walaupun ramai penonton sudah beralih ke platform penstriman, saya percaya masih ramai penonton televisyen mahu melihat kisah yang dekat dengan kehidupan mereka,” tuturnya

Untuk rekod, Sepenuh Hati Rindu bakal menemui penonton di TV3 tidak lama lagi dengan menampilkan barisan pelakon seperti Shahz Jaszle, Farah Nabilah, Razzuan Rosli, Syafie Naswip dan Raja Azmi.

Terdahulu, Jaja menerima kecaman segelintir netizen yang mendakwa dia sering memilih pelakon sendu atau tidak lagi relevan dalam setiap drama terbitannya sekali gus menjadi alasan ramai peminat beralih ke naskhah lain. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok