PELAKON dan penyanyi Bella Astillah terharu apabila menyedari tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sentiasa memakai tali leher hadiah daripadanya setiap kali menghadiri prosiding mahkamah.
Ujar Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, hanya baru-baru ini dia menyedari perkara tersebut selepas menonton semula rakaman video melibatkan tunang kesayangannya itu.
“Setiap kali YB pergi ke mahkamah, kalau korang perasan cantik tak tali leher dia?
“Saya baru perasan. Kalau korang nak tahu, saya sangat menghargainya,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok.
Pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu mengakui belum sempat bertanyakan perkara tersebut kepada Syed Saddiq, namun tersentuh apabila mengetahui hadiah kecil daripadanya begitu dihargai.
“Saya pun belum cakap dengan dia lagi. Rupa-rupanya setiap kali dia pergi ke mahkamah, dia pakai tali leher yang saya hadiahkan. Saya baru tahu.
“Patutlah dia selalu tanya, ‘Cantik tak tali leher ini?’ Sebab saya sendiri dah terlupa.
“Baru saya tengok balik video-video dia. Saya cakap dekat mak saya, ‘Yang ini saya beli di Brunei, yang ini pula saya beli di Sarawak’,” jelasnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ramai menyifatkan tindakan Syed Saddiq memakai hadiah daripada ibu dua anak itu sebagai tanda menghargai insan tersayang.
Rata-rata turut mendoakan agar hubungan pasangan itu dipermudahkan sehingga ke jinjang pelamin.
Untuk rekod, Bella yang juga penyampai radio Era FM mengikat tali pertunangan dengan Syed Saddiq pada 28 Mac lalu, selain mendedahkan mereka sudah menetapkan tarikh pernikahan. – HIBGLAM.
