‘Rohingya? Saya warganegara Malaysia, ada kad pengenalan’

DILABEL sebagai warganegara Rohingya, peserta program Big Stage X Rocketfuel, Rieffa mengakui tidak berkecil hati apabila menerima dakwaan dan gurauan berbaur penghinaan itu.

Malah, Rieffa atau nama sebenarnya Muhamad Alif Abdullah, 18, mengambil perkara itu dari sudut positif sebagai pemangkin semangat untuk terus berjuang dalam program terbabit.

“Sebenarnya saya ada baca juga komen itu, saya okey dan terima saja walaupun dia cakap saya begitu. Tak mengapa.

Saya ambil sebagai pemangkin semangat. Saya layan semua komen orang, mereka nak cakap apa pun, saya tak rasa ‘down’ pun.

“Saya terima sebab saya pun ada kacukan di sebelah datuk saya, dia keturunan mamak,” katanya kepada HibGlam ketika sidang media usai Big Stage X Rocketfuel, semalam.

Bagaimanapun, Rieffa mengakui ibunya yang juga seorang pempengaruh dikenali sebagai Ayu Kepoh paling terkesan dengan kritikan melampau tersebut.

“Apa-apa pun mak saya yang bersuara, bukan saya. Dia sangat terkesan sebab dia yang lahirkan saya, bila orang cakap macam itu, mak saya memang kecewa.

Saya pun ada kad pengenalan, warganegara Malaysia. Jadi bila orang cakap macam itu, memang mak saya akan habis-habisan bersuara.

“Nama pun Ayu Kepoh, mestilah kaki kepoh,” selorohnya.

Disoal berkenaan keadaannya yang sentiasa berfikiran positif, Rieffa menjelaskan emosinya kini lebih matang kerana sudah terbiasa melihat ibunya berdepan kecaman sejak berusia 12 tahun.

“Daripada kecil saya dah tengok mak kena kecam. Masa remaja memang rasa geram juga.

Tapi bila dah besar, saya sedar itu pendapat mereka dan kita cuma perlu terima saja.

“Benda itu tak buat saya ‘down’ pun sebenarnya,” jelasnya.

Minggu lalu, Rieffa menjadi mangsa kecaman apabila dilabel sebagai Rohingnya kerana perangainya yang lincah dalam Big Stage X Rocketfuel minggu kedua. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok