‘Tak perlu kejar gelaran, kena ada kelas tersendiri’ 

MESKI sudah tiga dekad mencipta nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi Ziana Zain tidak mengejar gelaran datuk seperti yang diraih rakan seperjuangan.

Ziana, 58, bagaimanapun mengakui pernah terdengar khabar angin namanya antara yang disebut-sebut bakal menerima pengitirafan itu dan tidak menolak sekiranya ada tawaran.

“Kalau dapat, Alhamdulillah. Saya pun tak tahu nak cakap apa sebab benda ini sudah pun berlegar-legar sejak beberapa tahun lalu.

“Ini semua rezeki Allah SWT, kalau ada, saya terima tetapi saya tiada jawapan bila ramai bertanya kenapa masih belum dapat gelaran datuk.

“Saya sendiri tak tahu mereka lihat dari segi apa, jawapan saya ialah berdoa sajalah,” katanya ketika ditemui HibGlam pada Muzik Lab bersempena kehadiran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), semalam.

Meski tidak diberikan sebarang gelaran, tegas Ziana, dia akan tetap meneruskan kerjaya seni yang sudah sebati dengan dirinya.

“Paling penting ialah kerjaya saya sebagai penyanyi dan saya masih di sini. Tidak mengapalah, saya sendiri tak kejar kelas atau gelaran.

“Tugas saya hanya menyanyi dan menghiburkan orang ramai, habis kerja saya pulang ke rumah.

“Saya tidak mengejar gelaran, itu semua Allah SWT yang berikan. Kalau dia kata sudah tiba masanya, pasti akan ada dan saya terima.

“Tidak perlu fikir atau kejar. Awak kena ada kelas tersendiri. Biar dia datang pada awak, bukan awak kejar. Betul tak?” Jelasnya.

Dia turut memaklumkan tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk gelaran tersebut.

“Setakat ini tidak ada tawaran yang hadir,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok