Terima kasih, impian buat konsert jadi kenyataan – Aishah

BIARPUN jualan tiket konsert disabotaj, Konsert Aishah 40 Chapters Of Love tetap berlangsung dengan meriah di Mega Star Arena Kuala Lumpur, semalam.

Konsert anjuran Vox Nation Love itu menghimpunkan peminat tegar Datuk Aishah atau nama lengkapnya Wan Aishah Wan Ariffin, 61, sejak awal kemunculannya bersama kumpulan The Fan Club.

Meskipun kehadiran penonton tidak penuh dan bahagian atas arena ditutup,  penonton tetap menikmati persembahan yang disifatkan mereka lebih intim.

Bahkan peminat yang membeli tiket di aras atas dipindahkan ke bahagian bawah.

Situasi tersebut tidak sedikit pun mengganggu persembahan Aishah yang tetap utuh berdiri di atas pentas menghiburkan peminat yang hadir.

Sempat dia berkongsi pengalaman di mana selama empat dekad bergelar penyanyi, ada kalanya dia hampir mahu berundur dari industri hiburan.

Banyak kali saya rasa hampir putus asa dalam bidang nyanyian tetapi sokongan kalian yang membuatkan saya terus bertahan.

“Begitu juga dengan sokongan rakan artis seperti Nourul Wahab. Dia sentiasa memberi kata-kata semangat buat saya untuk teruskan dalam bidang ini dan konsert ini.

Siapa sangka pada usia 61 tahun, saya masih boleh menyanyi lagu-lagu saya. Terima kasih kepada kalian kerana impian saya untuk buat konsert jadi kenyataan,” katanya.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, Aishah mendendangkan rangkaian lagu hit  termasuklah ketika bersama kumpulan Fan Club.

Antara lagu yang disampaikannya adalah Camar Yang Pulang, Wajah, Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Fatwa Pujangga, Bahtera Merdeka, Melukut Di Tepi Gantang, Sensation, Call Me dan Janji Manismu.

Aishah turut mengundang Ara Johari untuk berduet menerusi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah yang pernah dirakam semula penyanyi itu.

Namun ada peminat yang pulang dengan keadaan hampa apabila lagu-lagu popular seperti Merenung Bulan, Selanjur Bercinta dan Cinta Beralih Arah tidak dinyanyikan pada malam itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok