‘Isteri seorang sahaja, anak empat’ – Fitri Haris nafi kahwin dua

“TAK benar, isteri saya seorang sahaja dan anak saya ada empat orang. Itu saja saya boleh ulas.”

Demikian respons penyanyi nasyid, Dr. Fitri Haris yang menepis dakwaan liar mendakwa dirinya kini sudah berkahwin dua.

Menurut pemilik nama penuh Mohamad Fitri Mohamad Haris, 42, pelbagai spekulasi timbul dan sehingga kini dia masih mencari punca penyebaran khabar angin tersebut.

“Perkara ini sangat peribadi tapi kalau kata saya kahwin dua semua itu tak betul.

Selebihnya saya tak nak ulas sebab benda itu tak berlaku macam itu dan banyak naratif yang cuba dibina sampai sekarang saya, isteri, keluarga dan pihak yang rapat dengan kami mencari di mana punca,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media showcase Jiwa Rasa di Asam Pedas London, semalam.

Anggota kumpulan UNIC itu turut menggesa pemfitnah berhenti menyebarkan dakwaan tidak berasas selain memaklumkan sudah membuat laporan polis demi menjaga keselamatan diri.

Sudah-sudahlah sebab kita pun tak tahu siapa yang sebarkan. Saya pun dah buat laporan polis untuk berjaga-jaga, lebih-lebih lagi saya penjawat awam.

“Benda ini tak baguslah untuk kredibiliti. Kalau saya tak buat maksudnya memang tak buat. Sekiranya ada melakukan benda tidak baik, saya akan berlapang dada dan meminta maaf.

Kepada pihak berkenaan (penyebar fitnah) yang mungkin baca kenyataan ini, berhentilah bercerita benda yang tak baik sebab ada banyak kebaikan yang boleh kita sampaikan,” jelasnya.

Selain kontroversi poligami, Fitri juga pernah terpalit dengan tuduhan menduakan isterinya.

Fitri bagaimanapun menepis dakwaan tersebut dengan memaklumkan rumah tangganya bersama Fazilah Omar berada dalam keadaan baik dan bahagia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok