‘Bibir cedera, ikut kedalaman luka kena jahit’

PELAKON Zarif Ghazi berdepan detik cemas ketika melakonkan salah satu babak aksi dalam drama baharu terbitan Viu Malaysia, Cela apabila bibirnya tercedera sehingga berdarah.

Menurut Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, insiden itu berlaku ketika dia melakonkan babak tersebut bersama pelakon tambahan.

“Sepatutnya babak itu tak kena pun muka saya tetapi terkena. Biarpun kita sudah cuba elak tetapi kalau nak berlaku, berlaku juga.

Bila saya tercedera, pihak produksi mahu menghentikan penggambaran pada hari itu. Tetapi sebagai seorang pelakon saya mahu berkongsi rasa yang sebenar dengan penonton, jadi saya minta pengarah teruskan penggambaran.

“Alhamdulillah lepas saya tengok semula babak lakonan saya, saya lihat babak itu kelihatan cantik. Berbaloilah saya teruskan penggambaran biarpun tercedera,” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama Cela, hari ini.

Bercerita lebih lanjut tentang kecederaan yang dialaminya, Zarif berkata sepatutnya lukanya perlu dijahit.

Doktor cakap kena jahit kalau mengikut kedalaman luka tersebut. Darah memang keluar banyak. Tetapi Alhamdulillah selepas sehari, luka tersebut kembali bercantum. Dan tak perlu dijahit, kongsinya.

Tambah pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Khunsa itu lagi, dia sama sekali tidak menyimpan dendam dengan pelakon tambahan tersebut dan memahami asam garam kehidupan sebagai seorang pelakon.

Dia minta maaf dan agak risau selepas apa yang terjadi. Saya beritahu dia tak mengapa. Lagipun dia tidak sengaja,” ujarnya.

Selain Zarif, drama arahan Feroz Kader itu turut dibintangi Nabila Huda, Hun Haqeem, Zain Saidin, Datuk Eizlan Yusof dan Lisdawati. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok