TAMPIL di Mahkamah Persekutuan dengan tenang, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengakui terus berdoa hingga ke detik akhir sebelum rayuan akhir kesnya diputuskan hari ini.
Syed Saddiq atau nama sebenarnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada pukul 8.49 pagi bagi mengetahui keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya.
Segak mengenakan sut kelabu gelap, ahli politik itu berkata, dia akan terus berdoa agar keputusan terbaik berpihak kepadanya selain percaya ketentuan Tuhan.
“Hari ini saya akan terus berdoa. Manusia boleh berusaha, Allah yang menentukan.
Syed Saddiq sempat bersalaman dengan ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa ahli keluarga lain sebelum masuk ke kamar mahkamah.
Tunangnya juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya.
Keputusan yang dijadual diumumkan pada jam 9 pagi akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman penjara membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan terus dibebaskan. Namun, jika rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman mengikut sabitan bagi pertuduhan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir tersebut. – HIBGLAM
