PENYANYI rock, Muss memaklumkan isterinya, Suraya Bahari yang masih bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang akibat komplikasi penyakit kencing manis kini menjalani prosedur menebuk paru-paru.
Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 58, berkata, keadaan Suraya yang sebelum ini menjalani pembedahan memotong kaki semakin kritikal apabila doktor perlu menebuk lagi paru-paru bagi mengeluarkan cecair, hari ini.
“Dia masih di ICU. Keadaan dia sebenarnya hampir nak stabil, tetapi masih ada banyak masalah sampingan. Paru-parunya pula Masih dipenuhi air.
“Hari ini doktor sedang buat prosedur memasukkan tiub lagi untuk keluarkan air dalam paru-paru. Sepatutnya sudah selesai sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Biru Mata Hitamku di Hotel JW Marriot, hari ini.
Menurut vokalis kumpulan Barbarik itu, buat masa ini dia perlu kuat semangat seperti teman hidupnya yang sentiasa positif walau diuji dengan dugaan besar.
“Saya amat mengagumi kekuatan isteri saya yang tidak pernah mengeluh atau menunjukkan kesakitan sepanjang berdepan kesakitan serta ujian ini.
“Isteri saya seorang wanita yang sangat tabah. Kalau orang lain mungkin sudah tiada, tetapi dia amat kuat dan positif.
“Sampai dia sakit begini pun saya yang ‘down’. Dia pula tak mahu tunjuk dia sakit, dia sorok emosi selain sentiasa positif,” ujarnya.
Sekali gus, katanya semangat ditunjukkan isteri membuatkannya turut berusaha untuk terus kuat dan reda dengan setiap ketentuan Allah.
“Bila dia kuat, saya pun kena kuat. Apa yang jadi saya kena reda. Sampai ke hari ini saya terus berpegang kepada perkara itu,” katanya.
Pada masa sama, Muss berkata, setiap keputusan berkaitan rawatan isterinya juga dibuat dengan penuh pertimbangan bersama doktor serta ahli keluarga lain.
“Saya kena buat keputusan. Takkan saya nak biar sahaja. Cuma saya perlukan pandangan keluarga juga, termasuk sepupu dia.
“Saya tak nak buat keputusan yang salah, biarlah sebarang perkara atau keputusan penting kami bincangkan serta putuskan bersama-sama,” kongsinya.
Mengenai kerjaya, Muss mengakui sukar memberi tumpuan memandangkan Suraya selama ini menjadi tulang belakang yang menguruskan pelbagai jadualnya.
“Kalau ikutkan saya memang tak dapat buat kerja. Dia ‘runner’ saya. Banyak benda saya hilang kalau dia tiada,” katanya dengan nada sebak.
Mengenai Konsert Biru Mata Hitamku, Muss bersama JoBranko, Eddie dan Black bakal beraksi sepentas bersempena ulang tahun ke-30 buah tangan ke tujuh kumpulan Wings juga album studio pertama mereka yang diterbitkan pada 1996.
Persembahan mega tersebut dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 5 September 2026.
Terdahulu, Suraya, 53, menjalani pembedahan memotong kaki kiri hingga bahagian lutut akibat komplikasi penyakit kencing manis sebelum keadaannya merosot sehingga memerlukan rawatan rapi di ICU. – HIBGLAM
