Kalau nak mama, orang itu kena lebih berjaya – Cik B

STATUS solo terus meraih perhatian, penyanyi Cik B mendedahkan beberapa individu cuba memenangi hati ibunya, Datuk Seri Vida.

Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, berkata, lelaki yang ingin menjadikan ibunya sebagai pasangan diharap mampu menanggung kehidupan insan kesayangannya itu.

“Saya rasa kalau nak bersama dengan mama, orang itu kena lebih berjaya supaya mama nanti boleh berehat serta goyang kaki sahaja di rumah.

Dapatlah dia memanfaatkan waktu senggang untuk berehat, sekali gus boleh tumpukan pula kehidupan dengan suami.

“Tapi cinta itu buta. Kadang-kadang mama tak nampak seseorang itu ‘red flag’. Bila cintakan seseorang, kita tak sedar keburukannya tetapi orang luar boleh nampak,” katanya selepas malam kemuncak program Talk To My Manager musim dua (TTMM2), kelmarin.

Cik B yang bersama ibunya bersaing dalam pertandingan itu turut mengakui belum sedia melepaskan Vida untuk kembali bergelar isteri selain berharap dia tidak terburu-buru membuat keputusan berkaitan soal hati.

Kata pemenang ketiga TTMM2 itu, ibunya juga wajar mengenali sisi peribadi terutama hati budi lelaki yang ingin dijadikan teman dalam tempoh beberapa bulan sebelum melangkah ke fasa berikutnya.

Sudah tentu saya sayang mama. Boleh dikatakan saya pun belum bersedia berpisah dengannya. Kami tidur sekali. Kalau ada lelaki dalam hidup mama nanti, takkan saya nak tidur di tengah pula?

“Bagi saya dia boleh berkawan atau bercinta, tetapi kena lah kenal hati budi. Mungkin (kawan) lebih tiga bulan, kemudian barulah fikir perkahwinan,” ujarnya.

Sementara itu, Vida atau Hasmiza Othman berkata, fasa kehidupan bahagia yang dimaksudkannya adalah berkenaan masa berkualiti dengan anaknya sepanjang 10 minggu mereka bersaing dalam TTMM2.

Sebenarnya saya bahagia dapat memperuntukan waktu berharga dengan Cik B. Apa yang saya cakap bukan berkaitan lelaki atau siapa-siapa,” katanya.

Dipuji masih meraih perhatian ramai pada usia 54 tahun, usahawan sensasi itu sekadar berlapang dada dalam menjalani kehidupan sejak berstatus solo hampir dua dekad lalu.

Adakah saya ini janda meletup? Memang ramai yang cuba menghimpit tetapi mereka datang dan pergi.

“Apa-apa pun, saya sentiasa terbuka sekiranya nanti ada perkara yang baik mendekati saya,” ulasnya.

Terdahulu, Vida didakwa intim dengan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob namun kedua-duanya menyatakan hubungan tersebut hanya teman biasa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok