DIDIE Alias, sepotong nama yang sudah lali dengan sepak terajang industri seni tanah air. Lemparkanlah apa sahaja, dirinya ibarat disarungkan perisai bagi melindungi diri yang bagaikan kebal.
Lantang bersuara dan digeruni ramai pendatang baharu, aktres versatil berusia 54 tahun itu sudah tidak lagi terkesan dengan segala tohmahan negatif dilemparkan kepadanya, dari dahulu hingga hari ini.
Antara yang kerap dikecam khalayak adalah penampilannya yang dikatakan tidak seiring usia dan kelantangannya memperjuangkan hak rakan artis lain.
Namun baginya, tiada lagi yang perlu ditakuti kerana fokus pada ketika ini hanya untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan yang semakin sukar.
“Hinaan dan kecaman? Saya telan semua benda yang orang kecam.
“Semua itu adalah perkara biasa untuk saya, tidak memberi impak waima meninggalkan kudis pun.
“Cakaplah apa sahaja, saya sudah tidak hairan walau orang itu mengata saya di sebelah telinga saja, lantak kau!” katanya kepada HibGlam.
Tutur pemilik nama penuh Fadzilah Mohd. Ali itu, dia memilih untuk menolak tepi segala kecaman yang hadir selama ini kerana berasakan tidak mendatangkan sebarang manfaat buat dirinya.
“Saya tidak kisah dengan semua itu sebab bukan mereka yang hantar rezeki, duit dan beras kepada saya.
“Kalian cakaplah seberapa banyak yang boleh hingga mulut berulat sekali pun.
“Saya tidak takut nak balas semula, dalam siaran langsung media sosial pun saya boleh lakukan sebab memang orang begitu,” jelasnya.
Popular dengan drama Cukup Derita Itu, dramatis yang pernah memenangi trofi Artis Komedi Wanita Popular ABP 2014 itu menegaskan setiap perkara yang dilakukan adalah bersebab, terutama kelantangannya memperjuangkan hak rakan selebriti
Ujarnya, jika dia tidak bersuara, setiap permasalahan yang timbul hanya dibiarkan sepi tanpa sebarang tindak balas pihak sepatutnya.
“Dalam industri seni ini pun, kalau ada perkara yang tidak puas hati, saya akan terus cakap juga.

NAMPAK kelakar, namun dalam sesetengah hal, terutama kebajikan rakan artis yang tertindas, Didie kerap menjadi orang pertama yang lantang bersuara dan tampil membantu.
“Sebab siapa lagi nak bercakap daripada pihak anak seni?
“Setakat mereka cuma cakap belakang, tetapi bila berdepan tidak berani,” kongsinya.
Namun, tindakan yang dilakukan pasti hadir dengan impak berbeza termasuk dilabel dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya.
“Macam-macam orang panggil saya termasuk perempuan Israel, perempuan sial, tua dah nak mampus dan banyak lagi.
“Tapi saya memang tidak kisah, lantakkan saja.
“Panggillah apa pun, saya kata alhamdulillah,” tambahnya.
‘Pengarah mengamuk’
Seperti mempersetankan segala hal yang sekadar menyesakkan trafik dalam kepala, Didie sempat berkongsi pengalaman tentang beza suasana kerja di set penggambaran sekitar tahun 1990-an dengan zaman sekarang.
“Dahulu, para pelakon memang menjaga ketat soal disiplin bagi memastikan kualiti kerja tahap ‘tip top’. Sekarang boleh santai-santai dan buat siaran langsung di set penggambaran.
“Dahulu kalau salah, ada saja skrip, melambung dan lampu terbang di set penggambaran sebab pengarah mengamuk. Sebab itu sebelum masuk set, kena bersedia, nak mulakan penggambaran pun jantung dah berdebar-debar, tangan berpeluh.
“Pernah juga saya bekerja dengan Allahyarham Aziz Satar dan ramai lagi pelakon otai, mereka memang sentiasa bersedia, sampaikan dialog kita pun mereka hafal sebab nak faham keseluruhan cerita, kalau buat silap, semua akan tahu,” ujarnya.
Namun, semua itu sudah sukar untuk dilihat pada hari ini bahkan adakalanya dia kecewa melihat segelintir pelakon yang tidak mampu memberikan lakonan berkualiti meski sudah diberikan peluang memegang watak utama.
“Adakalanya saya rasa tak puas hati drama zaman sekarang. Sayang, cerita sudah bagus tetapi pelakon tidak berikan yang terbaik.
“Pelakon baharu sekarang, kalau mereka tidak buat ‘homework’, saya lantakkan saja,” jelasnya lagi.
Bukan mahu berlagak atau menyombong diri, Didie memberitahu setiap pelakon terutama pendatang baharu perlu mempunyai kesedaran sendiri dan jangan mengharap bantuan artis senior semata-mata di set penggambaran.
“Saya tiada masa nak melayan pelakon baharu yang tidak bersedia masuk set penggambaran.
“Bukan tugas saya untuk mengajar, tidak dibayar lebih pun untuk itu,” jelasnya lagi.
Komedi
Lebih dikenali sebagai pelakon komedi selepas menapak dalam industri hiburan pada awal tahun 2000-an, ibu kepada enam orang cahaya mata itu mendedahkan tidak mudah untuk seorang selebriti wanita berada dalam dunia tersebut.
Bukan sahaja sukar mencari ruang, membuatkan penonton ketawa bukan perkara mudah terutama buat pelawak wanita.
“Dunia komedi tidak senang, lebih-lebih lagi untuk wanita ditambah pula zaman sekarang, jari manusia dalam media sosial sangat menakutkan.
“Pelawak wanita ada batas yang perlu kita tekankan. Maksudnya perkara yang nak disampaikan itu lebih kepada isu masyarakat.

BERMULA sebagai model, Didie Alias yang berevolusi menjadi pelakon dan kini lebih sinonim sebagai pelawak dan selebriti berani mati dalam tutur kata mahupun penampilan.
“Jadi, semua itu menjadi kekangan untuk pelawak-pelawak wanita tapi kalau saya, memang jenis langgar saja, tidak peduli pun,” ujarnya.
Meski sasaran untuk menghiburkan khalayak, Didie menegaskan dia tetap menekankan agar setiap isu diketengahkan tidak menyinggung atau menggores hati mana-mana pihak.
“Kalau kita tahu tentang isu berkaitan masyarakat, itu lebih bagus untuk dijadikan bahan komedi.
“Cuma, jangan buat orang kecil hati, sakit hati atau isu sensitif berkaitan orang lain dijadikan bahan lawak,” kata isteri kepada bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail itu.
Jangan kosong
Katanya, untuk memasuki dunia komedi, setiap anak seni perlu mempunyai ilmu dan tidak hanya hadir dengan tangan kosong.
“Bukan semua orang boleh jadi pelawak atau pelakon komedi. Kalau tidak kena gaya, lawak akan jadi menyedihkan.
“Komedi lebih kepada spontan. Kita libas dengan buat lawak tetapi kalau perkara tersebut tidak melantun semula, akan bahaya untuk kita,” ujarnya.
Dia juga sempat menegur sikap segelintir pelawak yang disifatkan ‘syok sendiri’ dalam persembahan pentas.
“Kadang-kadang ada yang buat lawak tetapi gelak sendiri, jahanam jugalah. Kau cakap, kau gelak, gila ke apa? Sedangkan orang lain tak gelak.
“Macam penyampai radiolah, cakap-cakap sikit gelak dan sampai susah nak faham apa yang mereka bualkan. Tidak sempat nak dengar, sudah gelak Saya tukar terus ke siaran Klasik FM, tenang sikit dengar lagu klasik,” akhirinya.
