MASIH ingat Tuhan, pelakon Ezaidi Aziz menyangkal tuduhan melampau segelintir pihak yang mendakwa usahanya membina badan dilakukan demi mencari sumber pendapatan tidak bermoral.
Ujar Ezaidi atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Ab Aziz, 31, perubahan fizikal dilalui hanya atas tuntutan kerjaya seni serta keperluan watak lakonan.
“Tidak benar sama sekali. Saya langsung tidak terlintas ke arah itu. Saya kembali bina badan seperti dahulu kerana komitmen kerja. Hanya untuk nampak lebih sihat dan menambah keyakinan diri di hadapan kamera.
“Sebelum ini saya terlibat dengan penggambaran dan watak diberi memerlukan saya kelihatan seperti Prince Mateen, segak dan tegap.
“Jadi saya ambil inisiatif untuk bina badan semula. Itu sahaja tujuan sebenar. Tentang dakwaan cari duit haram, saya tidak ada hak untuk halang orang bercakap. Cukup saya tahu niat saya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu, perubahan fizikal selepas beberapa bulan menjalani latihan di gim memberi kesan positif terhadap keyakinan diri, terutama ketika berhadapan orang ramai.
“Kalau dahulu saya agak kurus, rasa kurang yakin. Sekarang saya lebih selesa dan yakin bila berhadapan dengan orang.
“Saya sebenarnya ada masalah kurang keyakinan diri dan sifat pemalu. Jadi usaha ini sedikit sebanyak membantu saya menjadi lebih yakin,” ujarnya.
Paling pelik kata Ezaidi, dia tidak faham mengapa wujud tuduhan sedemikian terhadap dirinya, malah menyifatkan semua itu tidak wajar dilontarkan tanpa asas kukuh.
“Saya tidak tahu kenapa ada yang memberi komen begitu. Kita manusia tidak lari daripada kesilapan.
“Jangan terlalu cepat menghukum kerana bimbang kata-kata itu akan kembali kepada diri sendiri.
“Kalau tidak tahu cerita sebenar, lebih baik diam daripada berkata perkara tidak pasti,” tegasnya.
Terdahulu, perkongsian Ezaidi dalam Threads memaparkan rutin membina badan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk tuduhan kononnya dia cuba ‘memancing’ perhatian golongan kenamaan. – HIBGLAM.
