PENYANYI terkenal antarabangsa, Dua Lipa selamat mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Callum Turner dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di London, semalam.
Menurut laporan media antarabangsa, pasangan sama cantik sama padan itu mengadakan upacara perkahwinan serba ringkas di Old Marylebone Town Hall dengan hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.
Biarpun berlangsung serba sederhana, perkahwinan tersebut tetap mencuri perhatian peminat pasangan ini di seluruh dunia.
Gambar pasangan pengantin baru yang dilihat beredar dari lokasi perkahwinan kini tular dalam media sosial.
Persalinan Dua Lipa turut menjadi bualan ramai apabila dia tidak memakai gaun pengantin sebaliknya memilih sut bersama skirt yang dipadankan bersama topi rekaan Schiaparelli.
Ada juga peminat yang sedikit kecewa kerana ingin melihat penyanyi jelita itu memakai gaun perkahwinan serba indah di hari bahagianya.
Walaubagaimanapun, pasangan ini dikatakan bakal mengadakan majlis resepsi di Itali tidak lama lagi dan bakal menghimpunkan ramai selebriti terkenal industri hiburan dan fesyen.
Menyingkap kisah cinta merpati dua sejoli ini, mereka kali pertama bertemu di restoran terkenal The River Cafe.
Namun kisah cinta mereka bermula setahun selepas pertemuan tersebut apabila mereka berjumpa semula di Los Angeles. Menariknya ketika berbual, mereka sebenarnya sama-sama sedang membaca sebuah buku yang sama.
Hubungan mereka mula diperkatakan ramai selepas kedua-dua hadir bersama di tayangan perdana siri Masters Of The Air pada Januari, 2024. – HIBGLAM
