PENGANJURAN edisi sulung Latihan Pestapora Malaysia pada tahun lalu meninggalkan seribu satu pengalaman dan pengajaran buat pihak penganjur, Hitman Group apabila beberapa isu teknikal dan kebajikan pengunjung dibangkitkan sewaktu acara berlangsung.
Antara rantaian aduan yang paling mendapat perhatian adalah isu kekurangan gerai jualan air minuman sehingga menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.
Malah, dilaporkan ada segelintir pengunjung pengsan akibat dehidrasi.
Enggan pisang berbuah dua kali, Latihan Pestapora Malaysia kini kembali menemui peminat untuk edisi kedua pada 15 Ogos depan dengan jaminan pelbagai penambahbaikan dilakukan demi memenuhi tuntutan serta keselesaan orang ramai.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, pihak pengurusan memandang serius setiap kritikan dan merombak struktur organisasi bagi memastikan kelancaran konsert kali ini.
“Berdasarkan pengalaman tahun lepas, kami dapat maklum balas daripada semua orang. Kita sudah bentuk satu pasukan lebih besar.
Saya nak mereka ambil alih organisasi Latihan Pestapora, jadi mereka dah menambah baik struktur keseluruhan.
“Kami juga tempatkan tenaga kerja yang sesuai untuk memastikan segalanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada sidang media Latihan Pestapora di Royal Selangor Club Bukit Kiara, baru-baru ini.

BAKAL berlangsung pada 15 Ogos depan, Latihan Pestapora Malaysia menjanjikan pengalaman lebih baik termasuk pemilihan barisan artis yang bakal beraksi. – SADDAM YUSOFF
Tambahnya, struktur tapak acara yang diadakan di Stadium Hoki Nasional dinaik taraf, termasuk membenarkan pengunjung membawa botol air sendiri untuk pengisian semula secara percuma.
“Kali ini kami menyediakan zon hidrasi (air), zon makanan dan minuman (F&B) yang teratur serta zon santai lebih selesa.
Zon hidrasi nanti kalian boleh bawa botol air sendiri dan boleh isi semula sebanyak mana yang dimahukan seperti Pesta Pora Indonesia.
“Pendek kata, kami janji pengalaman pengunjung pada tahun ini akan jauh lebih baik berbanding tahun lalu,” ujarnya lagi.
Ujar Rohit, fokus utama Hitman Group adalah untuk mengembalikan kepercayaan peminat muzik tempatan dan memberikan kepuasan maksimum melalui penganjuran festival yang berkualiti.
“Kami dah belajar apa orang nak dan kehendak awam.
Apa yang dah terjadi, kita nak mencantikkan dan beri kalian pengalaman yang lebih baik.
“Kami juga ada barisan artis berkualiti dan pelbagai. Pastinya kita semua bakal menikmati malam yang cukup hebat nanti,” jelasnya.
Diminta mengulas tentang penambahan barisan penyanyi, Rohit tidak menolak kemungkinan akan ada kejutan saat akhir membabitkan penglibatan nama-nama besar lain.
Kemungkinan ada (penambahan artis) tapi bukan dalam masa terdekat.
“Kita akan umumkan dalam fasa yang seterusnya,” tutupnya.
Dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos depan, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator menghimpunkan artis Malaysia dan Indonesia di Stadium Hoki Nasional.
Festival kali ini bakal menampilkan Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta dan Nadhif Basalamah.
Sementara barisan penyanyi Malaysia yang bakal menghiburkan peminat ialah Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks dan FUGO.
Turut mencuri perhatian, beberapa persembahan kolaborasi eksklusif yang hanya dapat disaksikan di Latihan Pestapora Malaysia 2026 termasuk Rhoma Irama Soneta X Maliq & D’Essentials, Masdo X Gerhana Skacinta dan juga Nadhif Basalamah X Aziz Harun X Aisha Retno. – HIBGLAM
