‘Sedih kalau dapat pasangan narsisistik, dipersalahkan keluarga mentua’

IBARAT mencatur nasib, pelakon Syifa Melvin menegaskan risiko besar menanti wanita sekiranya tersalah memilih pasangan hidup, khususnya melibatkan individu berdepan gangguan personaliti narsistik (NPD).

Ujar Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 32, meskipun tiada hubungan serba sempurna, situasi menjadi lebih malang apabila pasangan memiliki sifat toksik sehingga menjejaskan emosi dan keharmonian rumah tangga.

“Sebenarnya perempuan ini sedih sangat nasibnya kalau dapat pasangan hidup yang salah. Semua pasangan memang tidak sempurna, tetapi paling malang bila dapat versi NPD.

Lebih menyedihkan apabila keluarga mentua sedar perkara buruk berlaku, tetapi tetap menyalahkan si perempuan itu, memang pedih,” katanya dalam Threads.

Isteri kepada pemain bola sepak Safawi Rasid itu turut menasihati wanita bujang agar tidak terlalu tertekan memikirkan soal jodoh.

Saya selalu pesan kepada kawan-kawan jangan sedih kalau belum berkahwin. Nikmati sahaja kehidupan sekarang.’

“Lebih sedih kalau dapat pasangan yang salah. Perkahwinan ini sebenarnya seperti mempertaruhkan nasib, lebih-lebih lagi bila sudah ada anak,” ujarnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai, dengan kebanyakan netizen bersetuju serta berkongsi pandangan tentang kepentingan memilih pasangan berakhlak baik.

“Berkahwinlah dengan lelaki yang boleh buat kita terikut dengan sikap baiknya.

“Seumur hidup itu panjang, pilih pasangan yang ada akhlak dan adab.

Setuju, daripada tergesa-gesa kahwin, lebih baik tunggu yang betul-betul sesuai,” tulis beberapa netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu memberikan pandangan berbeza, namun majoriti melihat kenyataan Syifa sebagai peringatan berguna buat wanita.

Terdahulu, Syifa yang juga kakak kepada pelakon Syida Melvin pernah meluahkan rasa simpati terhadap nasib adiknya selepas berdepan kemelut rumah tangga.

Untuk rekod, Syida dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Disember tahun lalu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, dengan sebutan pertama kes berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 2 April lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok