‘Nama saya digugurkan sebab tak cukup gatal’

SUSULAN perkongsian pelakon Zara Zya mengenai sisi gelap industri hiburan, aktres senior Khatijah Tan tampil mendedahkan pengalaman hitamnya yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual seorang penerbit ketika awal penglibatan dalam dunia seni.

Dedah Khatijah, 65, seorang penerbit pernah menawarkan jalan pintas untuk bergelar pelakon dengan meletakkan syarat yang menjijikkan.

“Kenapa saya jadi pelakon? Salah satu sebab sisi gelap industri, saya dulu kerja hotel sebagai pelayan.

Zaman 80-an ke 90-an, stesen televisyen tak banyak. Ada seorang penerbit dia selalu datang hotel sebagai pelanggan tetap.

“Dia tawarkan saya berlakon. Sudah semestinya kita orang muda nak jadi artis.

Dia cakap boleh tapi ada syarat iaitu kena pergi hotel dengan dia dan pastikan saya meletup. Apa Zara Zya cakap memang betul,” katanya kepada HibGlam ketika sesi temu bual eksklusif baru-baru ini.

Berkongsi lagi, ibu kepada pengarah Pierre Andre itu pernah melalui uji bakat dan diganggu penerbit sama sehingga namanya digugurkan daripada senarai pelakon atas alasan tidak masuk akal.

“Saya pergi uji bakat dan nama saya dah keluar dalam surat khabar (terpilih). Ketika itu saya belum kahwin lagi, suami saya waktu itu teman lelaki saya.

“Dia selalu hantar saya dan penerbit itu tanya saya bawa siapa. Saya beritahu itu teman lelaki saya.

Esoknya saya dikeluarkan dari senarai pelakon. Saya pun hubungi dia dan diberitahu nama saya dipotong kerana tak cukup gatal.

“Bagi saya tak jujur, uji bakat selalunya orang tengok kemampuan berlakon dan ambillah orang macam ini tapi bukan sebab boleh bawa ke hotel atau sebab nafsu,”luahnya.

Enggan tergoda dengan tawaran murahan tersebut, pelakon filem Nar’sata: Sekutu Setan itu tekad mempertahankan maruahnya dan membuktikan mampu bergelar pelakon dengan cara bersih.

Tapi saya tak sebodoh itu, saya bukan murah sangat. Saya takkan gadaikan maruah saya disebabkan nak jadi seorang pelakon.

“Saya seorang pendendam, saya cakap ‘Tak apa, saya akan pastikan jadi pelakon tapi dengan jalan yang suci’. Saya pun masuk teater.

“Itu sebab saya jadi pelakon bukanlah nak berlakon sangat tapi saya geram (dengan penerbit),” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Zara mengakui menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya pada awal kemunculan dalam dunia seni.

Lebih mengejutkan, Zara turut berkongsi kisah lain apabila diperdaya menghadiri sebuah pertemuan tetapi rupa-rupanya diatur bagi memuaskan nafsu golongan kenamaan (VIP). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok