PERNAH popular seleksi hit seperti Sesal Mendua, Hari Ini Mungkin Terasa Berat dan Hanyut, kumpulan pop rock popular, Klangit kini muncul dengan sebuah lagu baharu Kau Bersama Dia.
Memberi kelainan ketara, Klangit kali ini mempertaruhkan gabungan vokal Ary Klangit dengan seorang penyanyi wanita jemputan, Dina Rijeu.
Kehadiran dua perspektif suara lelaki dan wanita bukan sahaja menambah kedalaman emosi, malah memberikan dimensi naratif yang lebih menyeluruh terhadap jalan cerita lagu ini.
“Tona vokal Dina yang penuh rasa dipadankan dengan karakter vokal Ary yang tersendiri, menghasilkan keseimbangan yang memperkayakan keseluruhan pengalaman mendengar,” kata seorang anggota Klangit.
Bercakap tentang penghasilan Kau Bersama Dia, kata Ary, lagu berkenaan tidak lahir daripada imaginasi semata-mata, sebaliknya diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang pernah dilalui ahli kumpulan Klangit sendiri serta kisah-kisah individu di sekeliling mereka.
Kejujuran itulah yang menjadikan Kau Bersama Dia begitu mudah dirasai dan dihayati, terutama oleh mereka yang pernah melalui pengalaman cinta yang tidak kesampaian.
“Kau Bersama Dia sebuah karya yang menyelami sisi paling rapuh dalam perasaan manusia, kehilangan, penerimaan dan keikhlasan dalam mencintai,” jelas Ary.
Menyifatkan kehadiran lagu berkenaan sebagai refleksi kepada realiti kehidupan yang sering dilalui ramai seperti seseorang yang dicintai memilih untuk bersama insan lain, meninggalkan si pencinta dalam dilema antara berharap dan melepaskan.

MENCARI kelainan, Klangit menggabungkan vokal Ary dengan seorang penyanyi wanita jemputan, Dina Rijeu.
Dengan pendekatan lirik yang jujur dan dekat dengan jiwa, Kau Bersama Dia membawa pendengar menyusuri perjalanan emosi yang penuh konflik dalaman. Ia bukan sekadar kisah patah hati tetapi sebuah naratif tentang kekuatan untuk menerima hakikat bahawa tidak semua cinta ditakdirkan untuk dimiliki.
“Klangit menekankan bahawa keikhlasan sebenar dalam mencintai kadangkala terletak pada kemampuan untuk melepaskan, satu mesej yang disampaikan dengan penuh ketenangan, namun cukup mendalam.
“Lagu ini bermula daripada idea melodi asas yang sarat dengan nuansa emosi sebelum berkembang menjadi lirik yang lebih mendalam. Walaupun sarat dengan makna, penulisan lirik masih mengekalkan gaya penyampaian yang ringkas dan mudah difahami, menjadikannya lebih dekat dengan pendengar daripada pelbagai latar belakang.
“Susunan muzik pula dibina secara berlapis dengan penekanan kepada elemen melankolik yang mampu menguatkan lagi penceritaan emosi dalam lagu ini,” kata Klangit yang mengambil masa beberapa bulan untuk menyempurnakan pembikinan karya baharu kali ini.
Bagi melengkapkan lagi penceritaan, muzik video rasmi turut dihasilkan dengan pendekatan visual yang sederhana, namun sarat emosi. Tanpa bergantung kepada elemen yang berlebihan, muzik video ini memberi fokus kepada ekspresi, bahasa tubuh dan jalan cerita yang realistik, sekaligus menguatkan lagi mesej yang ingin disampaikan melalui lagu.
Keseluruhan proses pembikinan muzik video ini mengambil masa beberapa minggu, merangkumi peringkat pra-produksi, penggambaran serta suntingan akhir.
Lagu Kau Bersama Dia boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama sejak 1 Mei lalu. Muzik video rasmi lagu tersebut boleh mula ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Video bermula 30 April lalu. – HIBGLAM
