BARISAN penyampai Bekpes Hot FM terus melakar sejarah sendiri selepas berjaya melakukan siaran luar secara langsung dari bangunan pencakar langit, Menara Merdeka 118 menerusi kempen istimewa #BekpesHotTaklukMerdeka118.
Menjadi stesen radio pertama di Malaysia yang mencatat sejarah tersebut, tiga penyampai Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin atau KJ, Fara Fauzana, AG dan Johan memulakan misi tersebut bermula seawal pukul 7 hingga 10 pagi.
Kejayaan siaran langsung tersebut membuatkan mereka menerima pengiktirafan rasmi daripada Asia Records dan ASEAN Records menerusi kategori ‘Highest Continuous Live Radio Broadcast from the World’s Second Tallest Building’.
Misi yang berlangsung hari ini juga dikatakan simbolik kepada keberanian, cabaran dan semangat serta melawan ketakutan.
Difahamkan, #BekpesHotTaklukMerdeka118 merupakan kesinambungan kepada pelbagai misi ekstrem yang pernah dilakukan sebelum ini termasuk siaran dari dalam kereta api, mendaki Gunung Kinabalu, siaran bawah laut di Pulau Bidong, Terengganu serta kayuhan sejauh 420 kilometer dari Alor Setar ke Shah Alam.
Sementara itu, Fara juga memuji keberanian AG yang berjaya melawan ketakutan untuk melaksanakan misi tersebut.
“Sejak awal lagi AG memang macam nak tarik diri sebab dia memang takut dan gayat dan saya nampak dia cuba lawan perasaan itu.
“Muka dia dah pucat sangat, tapi bila dia boleh lepaskan tangan dekat kawasan yang boleh nampak terus ke bawah itu, saya rada dia hebat sebab dapat atasi ketakutannya,” katanya.
Terdahulu, skuad Bekpes melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu, hari ini.
Bekpes Hot FM diiktiraf sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka di Pulau Bidong, Terengganu pada Ogos lalu.
Sebelum ini, Hot FM juga menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.
Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025. – HIBGLAM
