“FATIMA cakap ini ustaz daddy. Comel betul”.
Demikian perkongsian penyanyi, Amira Othman yang menunjukkan momen suaminya, Fattah Amin mengajar puterinya, Nur Fatima Aisya mengaji muqaddam.
Mengenakan telekung bermotif pelangi dengan latar kuning, aksi dua beranak yang turut disertai seorang lagi kanak-kanak dipercayai anak saudara aktor tersebut turut menarik perhatian ramai.
Detik berharga yang dikongsikan Amira di Instagram Story turut dimuat naik semula seorang pengguna Threads sekali gus mendapat pelbagai respons positif.
“Inilah yang saya bayangkan bila melihat mereka bersama di rumah. Keluarga yang cukup indah, sama-sama solat, mengaji dan meluangkan masa bersama.
“Tak sabar rasanya nak tengok adik baby (anak Amira) sertai daddy, mami, dan kakak Fatima sekali nanti,” tulis pemilik akaun tersebut.
Rata-rata komen juga memuji usaha pasangan itu yang mementingkan pendidikan agama dengan memperkenalkan kalam suci bermula dari rumah.
“Moga terus istiqamah, jadi bapa terbaik buat anak-anak, jadi bapa saudara terbaik buat anak-anak buah. Jadi diri sendiri, tahu apa diri sendiri perlu, apa yang famili perlu,” ujar netizen.
Terdahulu, Amira dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu kini sedang menunggu detik kelahiran anak mereka.
Fatima yang baru berusia lima tahun merupakan cahaya mata Fattah dengan bekas isterinya, Fazura. – HIBGLAM
