ANTARA nama menjadi sebutan ramai yang bakal menggalas peranan Hang Tuah dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), aktor Amir Ahnaf menyifatkan watak tersebut terlalu besar buat dirinya yang baru berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, dia terharu apabila namanya menjadi sebutan untuk watak tersebut sejak beberapa hari lalu.
“Terima kasih atas kepercayaan.
“Karakter itu terlalu besar dan kapasiti saya masih belum matang dan mampu.
Insya-Allah rezeki di lain hari ya. Tahniah buat yang ditakdir,” katanya dalam Threads.
Sejak semalam, nama Amir hangat menjadi bahan bualan ramai apabila dia dikatakan antara pelakon lelaki yang sesuai memegang watak Hang Tuah yang sebelum ini dipegang Stephen Rahman pada pementasan sebelum ini.
Rata-rata berpendapat Amir memiliki ciri-ciri dan karakter lelaki Melayu selain dilihat sesuai sekiranya digandingkan dengan dua pemain peranan Puteri Gunung Ledang iaitu Mila Mohsin dan Aisha Retno.
Sebelum ini, Mimi Fly dan Nadia Aqilah dipilih memegang watak Bayan iaitu pembantu setia puteri, manakala Luqman Hafidz diamanahkan membawa watak Sultan Melaka dan Yusuf Hashim pula memegang peranan sebagai Gusti Adipati.
Hari ini, penggalas watak Hang Tuah akan diumumkan menerusi akaun Instagram rasmi PGLM pada pukul 12 tengah hari.
Pementasan semula PGLM yang diterajui Penerbit Eksekutif dan Pengarah, Tiara Jacquelina dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.
PGLM merupakan adaptasi filem epik tahun 2004 yang kemudian diangkat ke pentas teater dan mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menjadikannya antara naskhah paling gah dalam sejarah seni persembahan negara. – HIBGLAM
