SELEPAS empat dekad mengabdikan diri dalam industri seni, penyanyi Fauziah Latiff akhirnya berjaya merealisasikan impian mengadakan konsert solo berskala besar, baru-baru ini.
Bertempat di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In KL menjadi medan menggamit nostalgia menerusi untaian hits malar segar seperti Dia, Teratai Layu Di Tasik Madu, Enggan dan Setia Ku Korbankan.
Meskipun memukau ribuan peminat, penyanyi yang mesra disapa Jee itu secara jujur mengakui kemampuan vokalnya kini tidak lagi ‘segarang’ zaman kegemilangannya.
Namun, Jee tetap membuktikan kredibilitinya apabila berjaya melunaskan lebih 20 buah lagu dengan penuh dedikasi.
Pujian harus diberikan atas usaha kerasnya kerana tidak semua insan berusia 56 tahun mampu berbuat demikian.

FAUZIAH Latiff masih mampu tersenyum mesra meskipun berdepan kecaman netizen.
Seperti kebiasaannya, beberapa klip video semasa melakukan persembahan akan tersebar meluas dalam media sosial.
Kritikan
Namun, perkara tersebut tidak disambut dengan baik apabila ramai yang mula melemparkan kata-kata negatif terhadap nyanyian Jee.
“Fauziah Latiff dah tak boleh menyanyi lagi. Konsert seperti semalam hanya akan menyiksakan diri dan vokal dia,” tulis netizen.
Zaman dia sudah berlalu, seiring dengan faktor. Semua suka Fauziah Latiff tapi kita juga perlu berterus-terang supaya dia sedar dan tahu kemampuan diri,” ujar netizen lain.
“Suara dia dah tak boleh pergi, kasihan kena cuba sehabis boleh,” tutur netizen lagi.
Tetapi ada juga yang tampil mempertahankan penyanyi kegemaran mereka itu kerana percaya dengan keikhlasan persembahan Jee.
Meskipun ramai cakap dia tak boleh nyanyi sekarang, tapi tolonglah ingat yang suatu ketika dahulu dia dah berjaya menjadi seorang penghibur dengan koleksi lagu-lagu yang popular,” ujar pengikut.
“Persembahan yang sangat ikhlas buat peminatnya. Lagu-lagu semua menggamit memori,” tutur peminat lain.
Melihat situasi tersebut, beberapa rakan artis tampil menyatakan sokongan terhadap Jee.
Antaranya Datuk Fazley Yaakob yang meminta orang ramai berhenti membandingkan fizikal dan vokal artis senior dengan zaman muda mereka.
Bila ada penyanyi-penyanyi senior atau lama kembali buat konsert, tak perlulah kita bandingkan suara, rupa serta fizikal mereka dengan masa mereka muda dahulu.
“Hanya berseronok dengan persembahan, hargai yang mereka masih sudi berusaha hiburkan kita semula.
“Yang ada tamat tempoh itu makanan. Insan seni dan karya tiada,” katanya dalam Threads.

NOURUL mempertahankan idolanya, Fauziah Latiff dengan mengatakan penyanyi itu berada pada tahap yang tersendiri ketika melunaskan persembahan solo baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi Nourul Depp mendedahkan perkara yang tidak diketahui umum mengenai tahap kesihatan Jee yang sebenarnya menjadi cabaran besar sepanjang konsert tersebut.
“Saya kasihan dekat dia sebab orang tak tahu dia ada asma dengan teruk. Tapi saya tak tahu Kak Jee tidak pernah cakap benda ini kan.
Saya sangat gembira konsert dia berjalan dengan baik dan full house. Kita risau juga dengan dia bukannya tak sedar ada komen teruk.
“Jadi marah sebab kita minat dia. Kita hargailah orang itu turun padang buat untuk kau walaupun kesihatan dia tak okey dengan penat dan letih.
“Kita tak tahu emosi dia macam mana, apa lagi masalah lain yang dia hadapi. Jadi hormati sikit,” katanya ketika ditemui HibGlam.
Meskipun dihujani kritikan pedas, majoriti penonton yang hadir ke dewan tersebut tetap memberikan pujian melambung atas kejujuran Jee di atas pentas
Kecaman yang dilemparkan mungkin datang daripada golongan yang tidak mengikuti perjalanan seni Jee atau sekadar ingin mencari perhatian di media sosial tanpa merasai sendiri aura persembahan secara langsung.
Semoga susuk bernama Fauziah Latiff itu tidak terkesan dengan setiap kutukan yang dilemparkan dan dapat berehat secukupnya selepas membuktikan bahawa gelaran legenda itu sememangnya layak dijunjung olehnya. – HIBGLAM
