AKTOR Aedy Ashraf mengundang sebak ramai apabila menzahirkan ucapan penghargaan buat ibunya yang juga pelakon senior, Liza Zain sempena sambutan hari ibu baru-baru ini.
Aedy, 33, berkata, dia tidak mampu untuk menghadiahkan pencapaian akademik sebaliknya menganggap filem sulung terbitannya, Tarung: Unforgiven adalah hadiah terhebat buat Liza yang juga penyokong utama kerjaya seninya.
“Ibu, terima kasih, ini untuk awak. Saya mungkin tidak dapat berikan segulung ijazah tetapi ini buat saya rasa seperti hari graduasi.
Filem pertama yang saya terbitkan dengan penuh cinta, didikan dan pengorbanan yang ibu berikan sepanjang saya membesar.
“Saya harap sudah dapat membanggakan ibu, selamat hari ibu,” katanya.
Hantaran tersebut seterusnya dibalas Liza dengan menyifatkan Aedy sebagai seorang anak yang tidak pernah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara.
Dia bahkan memberitahu bukan segulung ijazah yang dinanti sebaliknya melihat Aedy menjadi seorang manusia berjaya adalah hadiah terbaik buat dirinya.
“Adik (panggilan buat Aedy), anakku. Awak tidak perlukan segulung ijazah untuk buat ibu bangga.
Melihat awak membesar menjadi lelaki yang rajin, bersemangat dan sepenuh hati begini pun sudah lebih daripada cukup buat ibu rasa bahagia.
“Awak selalu buat ibu rasa bangga,” ujarnya.
Liza turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Aedy kerana sentiasa mengenang segala rasa sayang yang dicurahkan selama ini.
“Terima kasih sebab hargai semua kasih sayang dan pengorbanan ibu.
Menonton filem pertama awak juga adalah hadiah terhebat buat ibu. Tahniah adik.
“Ya Allah, luaskan dan limpahkan rezeki anakku serta sentiasalah dalam lindungan-Mu. Saya sangat menyayangi awak anakku,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Aedy pernah mendedahkan terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan empat demi menyara keluarganya dan perkara tersebut merupakan keputusan paling sukar pernah dibuat dalam hidup. – HIBGLAM
