‘Bukan boyish, pakaian yang saya pakai itu uniseks’

DIKRITIK sering menonjolkan penampilan sebagai lelaki, penyanyi Cik B menafikan dakwaan tersebut sekali gus menjelaskan pemilihan busana digayakan sebenarnya bersifat uniseks.

Dalam masa sama, pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 21, percaya gaya rambut pendeknya turut menjadi punca masyarakat memandang sering terhadap penampilannya.

“Ramai cakap saya pakai baju ‘boyish’, pakaian yang saya pakai itu sebenarnya unisex — lelaki dan perempuan pun boleh pakai.

“Cuma rambut saya sahaja yang pendek, jadi mereka nampak saya ini seolah-olah nak berpakaian lelaki,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui selepas konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), semalam.

Mengulas lanjut, anak kepada usahawan Datuk Seri Vida itu mengakui faktor keselesaan dan kesesuaian bentuk badan menjadi faktor pemilihan pakaiannya.

Sebenarnya saya berpakaian mengikut keselesaan. Saya ini sudahlah berbadan besar, nak tengok ke saya pakai ‘crop top’?

“Untuk persembahan minggu keempat ini saya memakai skirt, jadi perlahan-lahan lah berubah,” katanya lagi.

Sementara itu, Vida selaku pengurus bertindak mengambil inisiatif dengan menyediakan persalinan yang lebih feminin buat Cik B sebagai usaha untuk menampilkan kelainan berbanding gaya pada minggu-minggu sebelumnya

“Mama sediakan baju ini untuk Cik B, ada skirt. Saya doa supaya dia pakai nak penampilan berbeza.

“Tak nak nampak sama dah tiga minggu, biar ada ‘wow factor’ walaupun minimalis tapi memberi kesan,” ujarnya.

Sebelum ini, Cik B menjadi bahan kritikan apabila ada yang mendakwa penampilannya kelihatan terlalu ‘boyish’ ketika beraksi pada minggu kedua saingan TTMM2.

Malah, ini bukan kali pertama Cik B ditegur, memandangkan sebelum ini dia sering dinasihati agar menggayakan pakaian yang lebih feminin dan sopan sebagai seorang wanita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok