PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob berpendapat kemunculan semula bintang senior menjayakan konsert tidak seharusnya dihakimi dari sudut vokal mahupun rupa fizikal semata-mata.
Malah Fazley, 48, menegaskan kerja keras penyanyi senior yang masih sanggup memberikan persembahan terbaik pada usia emas sepatutnya diraikan dengan penuh penghargaan.
Bila ada penyanyi-penyanyi senior atau lama kembali buat konsert, tak perlulah kita bandingkan suara, rupa serta fizikal mereka dengan masa mereka muda dahulu.
“Hanya berseronok dengan persembahan, hargai yang mereka masih sudi berusaha hiburkan kita semula.
“Yang ada tamat tempoh itu makanan. Insan seni dan karya tiada,” katanya dalam Threads.
Dalam masa sama, pelantun lagu Asmara itu turut menjelaskan bahawa penganjuran sesebuah konsert bukan satu perkara mudah yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat.
Jadi baik kalian, nak buat konsert bukan senang. Bukan macam masak ayam gepuk, banyak benda nak buat persediaan tapi bila makan lima minit saja selesai.
“Nak buat persediaan untuk konsert susah. Nak habiskan konsert itu lagi banyak usaha,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada sikap segelintir netizen yang mula membandingkan mutu nyanyian penyanyi, Fauziah Latiff susulan konsert solo yang dijayakan malam tadi dikatakan tidak memenuhi kepuasan halwa telinga penonton.
Rata-rata komen netizen menerusi lewat perkongsian video penonton konsert mendakwa nyanyian figura yang mesra disapa Jee Latif itu sudah tidak seperti zaman muda dan tidak mampu mencapai not tinggi. – KOSMO! ONLINE
