TDWP2: Antara ‘berlian’ dan ‘raksasa’ ciptaan syaitan

‘And Emily …. That’s all’. Itu antara ayat paling ikonik dalam sejarah dunia sinema dilontar secara bersahaja oleh pelakon berbakat besar yang juga pemenang trofi Oscar, Meryl Streep tatkala melakonkan watak Miranda Priestly menerusi filem The Devil Wears Prada terbitan 2006.

Kini selepas dua dekad, siapa sangka watak ikonik itu kembali menghantui penonton di pawagam seluruh dunia sejak The Devil Wears Prada 2 ditayangkan secara rasmi pada 30 April lalu.

Namun adakah Miranda benar-benar akan menghantui penonton kali ini?

Masihkah dia bersikap ‘bossy’, sarkastik dan suka menghakimi tanpa ada sekelumit rasa belas kasihan terhadap pembantu peribadinya, Andrea Sach lakonan Anne Hathaway.

Tempoh 20 tahun bukanlah satu jangka masa yang lazim untuk menghasilkan sekuel sesebuah filem.
Namun entah mengapa, TDWP ini terasa seperti baru semalam kita menonton versi yang pertama.

Mungkin kerana sudah berkali-kali ditonton dan sudah boleh menghafal setiap dialog dalam filem yang diadaptasi daripada novel dengan judul serupa.

TDWP2 bermula dengan tragedi menimpa Andrea apabila dia dan rakan-rakannya diberhentikan kerja secara mengejut pada hari yang sama dia menerima anugerah wartawan terbaik.

Dalam masa sama, syarikat penerbitan majalah fesyen Runway terpalit dengan kontroversi apabila menerbitkan artikel tentang jenama fesyen yang menggunakan khidmat buruh paksa.

Pemilik Runway iaitu Irv Ravitz bengang dengan tindakan Miranda dan melantik Andrea untuk kembali bekerja di Runway dengan memegang jawatan sebagai pengarang kanan meja rencana.

ANDREA lakonan Anne Hathaway dilihat sebagai permata di meja rencana.

Pergelutan untuk kekal relevan

TDWP2 merupakan satu tamparan realiti industri penerbitan yang makin nazak. Dunia digital sedang mengambil alih satu persatu lambang kemegahan industri ini.

Miranda yang dahulunya angkuh, kini sanggup merendahkan egonya demi kekal relevan dan menanti untuk dinaikkan pangkat biarpun kian dimamah usia.

Buktinya, dia sanggup menaiki penerbangan kelas ekonomi.

Sepertimana runtuhnya ego seorang Miranda, begitu juga runtuhnya harapan pencinta Miranda yang hadir ke pawagam untuk melihat dia terus menerus menjadi ‘devil’ menindas pekerjanya.

Ramai juga penonton merungut hampa Miranda tidak lagi sekejam dahulu. Namun, mungkin penonton-penonton ini lupa, sikap manusia boleh berubah-ubah apatah lagi sudah 20 tahun berlalu.

Atau mungkin juga dalam tidak sedar, kita seronok melihat penindasan dan kata-kata pedas yang dilontarkan Miranda sehingga menganggap nilai-nilai murni sesuatu yang membosankan?

Pada hemat penulis, sekuel ini versi yang lebih matang, mendewasa dengan onak duri dan cabaran industri penerbitan.

Inilah realiti sebenar. Filem ini bukan lagi tentang fantasi dunia glamor tetapi ‘survivor’ untuk kekal relevan dan menyelamatkan periuk nasi sendiri.

Siapa ‘devil’ yang sebenar?

Andrea yang hilang pekerjaan kembali ke Runway demi kelangsungan hidup membuktikan kebijaksanaan dan kesetiaan yang dipamerkan untuk Miranda bukanlah kerana dia benar-benar ingin membantu wanita itu.

Hakikatnya dia ingin bersama bertahan sebagai satu kumpulan agar tiada antara mereka hilang punca pendapatan.
Kekerasan kadangkala boleh membentuk sebutir berlian juga mencipta raksasa. Berlian itu Andrea manakala Emily pula raksasa.

“Everybody wants to be us.” Itu kata-kata Miranda kepada Andrea saat dia ingin mengundur diri dari Runway.

“Namun selepas Andrea melangkah pergi, Miranda tersedar ‘everybody’ yang dia maksudnya sebenarnya ialah orang yang paling dekat dengannya. Dan kerana itulah dia menyingkirkan salah seorang daripada mereka dari Runway.

Seperti kebanyakan filem Hollywood ketika ini, TDWP2 juga tidak terlepas mengikut trend ‘woke’ dengan mengambil barisan pelakon yang lebih diversiti.

Antara pelakon pelbagai negara dan bangsa menghiasi TDWP2 iailah Ashley Simone, Lucy Liu dan ramai lagi.

Pujian untuk ‘casting director’ kerana berani mengambil pelakon lelaki bertubuh besar untuk memegang watak ‘The Emily’ yang baharu.

Pemilihan ini adalah bukti bahawa sesiapa sahaja layak untuk duduk di kerusi ‘Emily’ tanpa mengira bentuk fizikal.

Satu hal yang menarik tentang filem ini adalah watak-watak ‘cameo’ terdiri daripada penggiat industri fesyen.

Paling menarik perhatian tentunya watak Lady Gaga yang menjadi dirinya sendiri. Biarpun hanya dua babak, tetap menghiburkan.

Kurang impak fesyen

Cuma bagi penulis, impak fesyen dalam sekuel ini agak kurang berbanding TDWP.

Sesetengah gaya kelihatan ‘old fashion’ dan tidak segah versi pertama biarpun akses terhadap jenama mewah untuk versi sekuel lebih besar.

Antara yang mengganggu mata penulis adalah warna atau ‘color grading’ filem ini yang sangat berbeza dengan versi pertama. Kelihatan sedikit lapuk. Versi pertama kelihatan lebih segar dan ‘glossy’.

Keserasian antara Anne Hathaway dan watak baharu lakonan Patrick Brammall juga dilihat kurang menjadi. Kedua-duanya seolah-olah bagai tiada sinergi.

Jika ditanya apa pandangan jujur penulis terhadap naskhah ini, gemilangnya mungkin milik versi pertama, namun sekuelnya tetap cemerlang dan menghiburkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok