SELEPAS tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara, band popular Indonesia, Ungu bakal kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert khas Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur pada 5 September depan di Idea Live Arena.
Bukan sekadar persembahan biasa, konsert berkenaan disifatkan sebagai simbol penghargaan buat peminat Malaysia yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan seni mereka sejak awal kemunculan lagi.
Menurut vokalisnya, Pasha, Malaysia mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hati setiap anggota Ungu, bahkan sudah ibarat rumah kedua buat mereka.
“Kalau dapat tawaran konsert di Malaysia, kami sangat berhati-hati. Dari pemilihan lagu, pakaian, konsep pembukaan, muzik dan pentas, semuanya kami fikirkan betul-betul.
“Malaysia sentiasa istimewa buat kami. Mungkin penonton nampak biasa, tetapi sebenarnya persiapan untuk tampil di sini sangat teliti,” katanya dalam sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.
Selain Pasha, Ungu turut dianggotai Enda, Oncy, Makki dan Rowman. Ditubuhkan pada 1996, mereka mencipta nama menerusi lagu malar segar seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Andai Ku Tahu dan Cinta Dalam Hati.
Konsert ulang tahun ke-30 tersebut akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu The Birth, The Peak dan The Legacy yang membawa penonton menyusuri perjalanan seni mereka dari era awal penubuhan hinggalah menjadi legenda serantau.

TELITI dalam soal pemilihan lagu, Pasha berasakan cita rasa peminat di Malaysia berbeza berbanding tempat lain.
Pasha berkata, pemilihan lagu untuk peminat Malaysia bukan sesuatu yang mudah kerana cita rasa penonton tempatan berbeza berbanding di Indonesia.
Kami pernah lihat lagu tertentu tinggi tontonan di YouTube Malaysia, tetapi bila dibawa secara langsung di Malaysia, penonton tidak ikut menyanyi. Ada juga lagu biasa-biasa sahaja dalam platform digital, tetapi bila dibawa di sini semua orang menyanyi.
“Sebab itu kami perlu pilih lagu yang benar-benar dekat dengan jiwa peminat Malaysia,” ujarnya.
Kekal bertahan
Dalam masa sama, pelantun lagu Seperti Yang Dulu itu mengakui rahsia Ungu kekal utuh selama 30 tahun bukan kerana mereka tidak pernah berselisih faham, sebaliknya sentiasa memilih jalan penyelesaian.
Bergaduh itu biasa, tetapi jangan bubar. Masalah memang akan selalu ada apa yang penting, kita duduk bersama dan cari jalan penyelesaian,” katanya.
Menariknya, Pasha yang turut bergelar ahli politik di Indonesia menegaskan karier politik tidak pernah membuatkannya mengetepikan Ungu. Sebaliknya, segala jadual rasmi sentiasa disusun agar tidak bertembung dengan komitmen seni.
Semua boleh diatur dengan baik. Saya maklumkan kepada pihak pengurusan tarikh-tarikh penting supaya semuanya terkawal. Konsert bukan berlangsung setiap hari, jadi semuanya boleh diselaraskan,” katanya.
Pasha sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Palu dan kini aktif di parlimen Indonesia, namun tetap kembali bersama Ungu untuk menjayakan konsert serta rakaman baharu.
Konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment tersebut dijangka menjadi antara acara paling dinanti peminat tahun ini, selain menampilkan lima artis jemputan khas yang akan diumumkan kelak. – HIBGLAM
