PERNAH bergandingan dengan Allahyarham Jalil Hamid dalam filem Bisik Pada Langit, pelakon Ummi Nazeera menyifatkan pengalaman itu cukup berharga dalam hidupnya.
Ummi atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 35, berkata, dia akan menyimpan kemas segala kenangan bersama arwah. “Innalillahiwainnailaihirojiun, saya antara peminat tegar Allahyarham.
“Syukur, Allah beri peluang kepada saya berlakon sebagai anak arwah dalam Bisik Pada Langit beberapa tahun lalu.
“Satu kenangan yang akan saya simpan selamanya,” katanya dalam Instagram.
Selain itu, pelakon drama Andai Tiada Dia itu berkongsi pernah menerima peluang untuk mengarahkan sebuah telefilem.
Katanya, nama yang bermain di fikirannya untuk memainkan watak bapa ialah Jalil namun projek tersebut tidak dapat diteruskan akibat kekangan masa.
“Beberapa minggu lepas saya menerima tawaran untuk mengarah sebuah telefilem.
“Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya untuk memegang watak ayah ialah Jalil Hamid.
“Namun disebabkan kekangan jadual, saya tidak dapat memberikan komitmen mengarahkan naskhah tersebut,” katanya lagi.
Dalam kesempatan itu, Ummi mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, meninggikan darjatnya di sisi-Nya, serta memberikan cahaya buat urusan di alam barzakh.
“Ya Allah, ampunilah dia, tinggikanlah darjatnya dalam kalangan mereka yang mendapat petunjuk, dan jagalah mereka yang ditinggalkannya.
“Ampunilah kami dan dia, wahai Tuhan sekelian alam. Luaskanlah dan terangilah kuburnya,” luahnya.
Hari ini, Jalil dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya selepas bertarung dengan masalah jantung. – HIBGLAM
