Epitome ‘sayang masih kuat, tetap harus berpisah’

Pernah bekerjasama merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang yang dipopularkan Eddie Hamid dan Ashira serta berjaya mencapai lebih daripada 1 juta tontonan di YouTube, pasangan duet serasi, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa kembali mewarnai persada muzik tanah air dengan taruhan terbaharu mereka berjudul Menduakan Cinta. 

Dengan alunan mendayu-dayu atau biasa disebut ‘tangkap leleh’, single kali ini tampil dengan nuansa emosi yang lebih mendalam sekali gus menonjolkan kematangan vokal dan sisi puitis kedua-dua penyanyi ini.

Menerusi Menduakan Cinta, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa meneroka genre balada yang lebih menyentuh perasaan.

Di bawah bimbingan komposer tersohor Eddie Hamid, mereka diberikan kepercayaan penuh untuk menterjemah rintihan jiwa yang terpendam ke dalam melodi lagu itu.

Kali ini kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu tetapi satu rintihan jiwa. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” ujar Ahmad Syafiq.

Selain Eddie, lagu itu juga dicipta bersama komposer, Barr Hadif dan Aiman Zaidi, manakala lirik lagu ditulis mereka bertiga dan juga Hakim Hakimi dan Jaju.

Lagu ini membawa pendengar menyelami konflik dua insan yang masih saling mencintai, namun terpaksa akur pada takdir. Ia bukan sekadar bicara tentang perpisahan tetapi tentang realiti pahit cinta lama tidak lagi dapat diselamatkan kerana ketentuan takdir.

Lagu ini menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” tambah Wawa Shazwa yang tetap memberikan komitmen vokal terbaik meskipun sedang hamil lima bulan ketika proses rakaman dijalankan.

Proses rakaman dilakukan sebanyak dua kali bagi memastikan kualiti dan emosi yang disampaikan adalah yang terbaik.

Keakraban pasukan produksi dan arahan jelas daripada Eddie Hamid yang memudahkan urusan di studio membolehkan Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa meresapkan rintihan jiwa  ke dalam lagu ini.

Menariknya, Menduakan Cinta dicipta khas sebagai OST drama Bayangan Lelaki Sempurna yang kini bersiaran di slot Akasia di TV3 mulai pukul 7 malam. Drama bersiri 28 episod itu dibintangi Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian.

Lagu Menduakan Cinta terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi lagu itu boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok