BERHIATUS. Itu yang dilakukan pelakon Idris Khan untuk beberapa tahun selepas namanya dipanaskan kes mahkamah membabitkan isu kontrak dengan penerbit, Datuk A. Aida pada 2022.
Tindakan aktor itu menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah boleh dikatakan satu keputusan tepat bagi menamatkan salah faham tanpa perlu melalui proses perbicaraan panjang.
Kembali aktif dengan lebih bersemangat, peminat nama Idris Khan Abdul Ghaffar Khan itu mengakui tempoh berehat, hanya lakonan yang membeku, namun fikirannya tidak berhenti mengatur strategi mengembangkan perniagaan.
“Saya memang fokus bisnes. Sebelum ini pun saya sudah merancang untuk kembali berlakon sekiranya menerima skrip yang baik.
“Namun, perancangan tersebut tertangguh disebabkan isu mahkamah yang melibatkan aktres Amelia Henderson.
“Disebabkan apa yang berlaku ketika itu, saya fikir ada baiknya saya tumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan terlebih dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Sepanjang tempoh berehat juga, Idris sebenarnya aktif dalam beberapa projek platform penstriman bagi mengubat rindu terhadap dunia lakonan.
“Sebenarnya sudah hampir tiga tahun saya berehat. Selepas isu mahkamah, saya ada berlakon juga dengan Amazon Prime dan Netflix.
“Mungkin sebab tak boleh memberikan komitmen yang memakan masa lama. Jadi saya ambil watak kecil dalam filem indie,” ujarnya.
Populariti
Bagi Idris, kepulangannya kali ini bukan untuk mengejar glamor selain menegaskan populariti adalah sesuatu yang bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam kehidupan.
“Populariti tidak memberi kesan kepada saya. Saya tidak ambil sesuatu tawaran kerja hanya demi mengejar nama.
“Malah, saya tidak kisah jika tidak melakukan apa-apa pun atas dasar mahu popular semata-mata,” ujarnya.

LEBIH tiga tahun menyepikan diri daripada berlakon, Idris Khan bakal munclul dengan sebuah drama baharu berjudul Anom Suraya siaran TV3.
Kerisauan utamanya kini bukanlah soal sejauh mana dikenali, sebaliknya kualiti persembahan yang bakal diberikan kepada penonton selepas sekian lama tidak berada di set penggambaran.
“Jika ditanya tentang kebimbangan, fokus saya bukanlah soal populariti. Kerisauan utama, sama ada mampu memberikan persembahan yang terbaik atau tidak, memandangkan sudah lama tak beraksi di set penggambaran.
“Saya tidak mahu apabila buat kemunculan semula, hasilnya mengecewakan kerana peminat sudah lama tidak nampak saya berlakon.
“Saya tahu jangkaan mereka pasti tinggi. Jadi, saya lebih memikirkan bagaimana mahu memenuhi jangkaan tersebut dan memastikan naskhah ini berjaya.
Berkongsi mengenai penglibatannya dalam sebuah naskhah berjudul Anom Suraya yang kini masih dalam penggambaran, Idris menyifatkan sebagai projek tersebut medium untuk memenuhi ruang kreatif.
“Kenapa saya buat drama ini? Sejujurnya, saya rasa ada dua faktor utama.
“Pertama, saya seorang yang kreatif. Apabila saya berkarya dan terlibat dalam kerja-kerja kreatif, saya akan rasa puas.
“Lagi pula, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya agak kurang aktif dari segi lakonan dan kerja kreatif kerana fokus saya lebih tertumpu kepada bidang perniagaan. Jadi, penglibatan kali ini adalah untuk memenuhi semula ruang kreatif tersebut.
“Saya selalu ditanya bila nak berlakon balik. Jadi, selepas beberapa tahun apabila mendapat sokongan dan permintaan, saya perlu buat kemunculan semula,” jelasnya.
Selain Idris, naskhah yang djangka tayang pada 3 Julai depan turut dibintangi Daiyan Trisha dan Yusuf Bahrin.
Anom Suraya mengisahkan seorang gadis kampung yang bekerja sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur, namun terperangkap dalam cinta tiga segi bersama dua anak majikannya. – HIBGLAM
