“HARI itu, saya ‘skip’ (langkau) lagi, berat sungguh nak pergi fisioterapi sebab mengantuk.”
Demikian jawapan pelakon Nabila Huda berkenaan rawatan yang perlu dilakukan akibat kecederaan tulang belakang (slip disc) dialaminya pada Disember lalu.
Tindakan melangkau rawatan tersebut mengundang padah apabila Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 41, tidak boleh bangun dari katil selepas beberapa jam memakai kasut tumit tinggi.
“Dia macam boring sangat habit itu. Tapi saya kena marahlah dengan kawan-kawan, mereka cakap kena pergi sebab ketika malam gala Gayong 2, keesokkan harinya saya tak boleh bangun.
Puncanya pakai kasut tumit tinggi selama enam jam, saya turun hotel pakai kerusi roda,” katanya kepada HibGlam pada malam gala filem terbaharunya, Libang Libu baru-baru ini.
Meskipun menanggung kesakitan, Nabila enggan dibawa ke hospital dan mendapatkan rawatan alternatif yang lebih selesa bagi dirinya.
“Waktu tak boleh bangun saya telefon Beto dan Sandra, mereka datang memeriksa saya dan cakap nak bawa pergi hospital.
Saya tak nak sebab nanti kena makan painkiller. Mereka bawa terus pergi ke tempat fisioterapi kawan saya dan dia betulkan saraf, alhamdulillah okey,” ujarnya.
Sebelum ini, Nabila menjalani pemeriksaan selepas diserang kesakitan pada bahagian pinggang selepas bangun tidur.
Meskipun disahkan mengalami slip disc, dia tetap meneruskan pementasan teater muzikal Masmoona demi melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon. – HIBGLAM
