Kami ada konflik, banyak ‘langau’ – Nourul Depp

MENGAKUI ada perselisihan faham dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah, penyanyi Nourul Depp berharap tiada pihak memburukkan lagi keadaan dengan cuba campur tangan.

Katanya, sebagai ibu, dia menegur serta menitipkan nasihat supaya puterinya itu tidak mengulang kekhilafan yang pernah dilakukannya suatu ketika dahulu.

“Ya, memang saya kecil hati. Memang ada perselisihan faham. Saya marah bersebab, sebagai orang tua, saya tak nak anak buat salah macam yang pernah saya lakukan.

“Ikutkan hati dan emosi, saya nak cerita semuanya tetapi saya masih rasional, selain tak mahu dia bertambah marah kalau saya dedahkan dan semakin menjauh.

“Cuma sekarang banyak langau kiri kanan. Tak payah tunggu orang terdekat sebarkan, orang luar pun boleh cakap benda yang tak betul,” katanya menerusi temu bual secara Zoom dengan HibGlam, hari ini.

Penyanyi yang bermastautin di Bali, Indonesia itu hanya mengharapkan krisis dalaman dengan puterinya sejak Disember tahun lalu dapat diselesaikan secara baik.

“Saya kini sudah melepasi fasa hati remuk, kiranya perasaan saya lebih tenang berbanding beberapa bulan dahulu.

“Sebelum ini emosi saya terjejas teruk, saya jadi cepat marah termasuk terhadap suami. Eric sama macam bapa Ayu yang tak mahu mencampuri urusan kami tetapi saya tahu mereka berdua serta ibu tiri Ayu sentiasa melakukan yang terbaik.

“Apa pun saya dan Eric sudah berbicara dari hati ke hati. Alhamdulillah, semuanya kembali okey kerana ada tiga anak lagi yang memerlukan perhatian.

Ditanya sama ada Nourul sudah menghubungi kekasih Ayu yang juga anak pelakon Datin Maria Farida, Mizan Ashley, akuinya kali terakhir mereka bercakap di telefon sekitar awal tahun ini.

Begitupun, penyanyi Kerana Terluka itu enggan mendedahkan butiran perbualan selain menyifatkan jejaka tersebut sebagai individu yang baik dan berbudi pekerti.

Malah, berkenaan wanita yang dimaksudkan sebagai ibu baharu anaknya, Nourul juga enggan mengulas sama ada merujuk kepada aktres terbabit.

“Ketika buat ‘live’ baru-baru ini pun saya tak sebut nama sesiapa. Biar masa menentukan. Kebenaran akan terjawab tidak lama lagi,” ulasnya seraya menegaskan wanita yang dimaksudkan bukan isteri Ajai, Liza Illias.

Menurutnya, sebagai bapa, Ajai sudah melakukan yang terbaik untuk memujuk anak mereka, begitu juga isterinya yang menjaga Ayu sejak kecil.

Terdahulu, perkongsian Nourul tentang pengalaman melahirkan Ayu mengundang pelbagai reaksi berikutan kenyataan dirinya ‘mati’ semasa membesarkan gadis itu.

Ayu adalah zuriat hasil perkahwinannya dengan Ajai namun mereka berpisah pada 2007 dan lima tahun kemudian penyanyi itu bertemu jodoh dengan warga Perancis, Eric Daniel Depp.

Rumah tangga pasangan romantik itu diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Zachary Depp, 10, Raphael Depp, 8, dan Isabella Depp, empat tahun. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok