SEBELUM menderu di dunia glamor, ramai antara bintang K-pop dan pelakon Korea yang menghabiskan usia muda mereka dengan keringat peluh, disiplin besi dan semangat juang di arena sukan.
Transformasi tersebut bukan sekadar perubahan karier, malah merupakan bukti bahawa daya tahan fizikal dan mental yang dipupuk di gelanggang sukan menjadi asas kejayaan mereka dalam industri seni.
Apabila kita melihat seorang pelakon yang mampu melakukan aksi lagak ngeri sendiri atau seorang idola yang memiliki stamina tarian yang luar biasa, mungkin itulah sisa-sisa disiplin seorang atlet yang pernah tertanam dalam diri mereka.
Berikut adalah beberapa selebriti Korea yang pernah menukar nasib daripada kerja keras ‘kasut’ sukan mereka kepada kemilau sepatu dunia hiburan.
So Ji-sub

SIAPA sangka pelakon So Ji-sub adalah seorang perenang profesional selama 11 tahun?
Ji-sub pernah memenangi pingat dalam sukan renang di peringkat kebangsaan Korea Selatan sebelum terjun ke dunia hiburan.
Keupayaannya untuk mengekalkan bentuk tubuh yang sempurna dan disiplin yang tinggi sepanjang karier seni merupakan kesan daripada rutin latihan sukan yang sangat ketat pernah dilaluinya sepanjang zaman remaja.
Song Joong-ki

SEBELUM menjadi antara pelakon lelaki paling berpengaruh di Asia, Song Joong-ki meupakan seorang atlet luncur ais yang sangat berbakat.
Jejaka berusia 40 tahun itu pernah mewakili kota kelahirannya, Daejeon dalam sukan short track speed skating di peringkat kebangsaan selama lebih sedekad.
Malangnya, kecederaan serius pada lutut semasa di sekolah menengah memaksanya menghentikan karier sukan tersebut.
Namun, disiplin yang dipelajari di atas ais jelas terlihat dalam cara dia mendalami watak yang akhirnya membawanya ke puncak kejayaan antarabangsa.
Choi Min-ho

SEBAGAI anak kepada jurulatih bola sepak terkenal, Choi Yun-kyum, ahli kumpulan Shinee iaitu Choi Min-ho mewarisi bakat bapanya dan sering mempamerkan kemahiran bola sepak dalam rancangan Our Town’s Physical Variety.
Dia juga pernah mengetuai pasukannya meraih kemenangan dalam Pertandingan Piala Dunia Futsal Idola (Idol Futsal World Cup Competition).
Min-ho pada asalnya bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Namun, hasrat itu dihalang bapanya yang berpendapat bahawa anaknya tidak mempunyai kekuatan mental untuk bertahan dalam arena sukan yang mencabar.
Penyanyi berusia 34 tahun itu pernah mendapat pujian daripada bekas pemain kebangsaan, Lee Young-pyo dan mengetuai pasukan meraih kemenangan dalam Piala Dunia Futsal Idola.
Yoon Hyun-min

PELAKON Yoon Hyun-min, merupakan seorang pemain besbol profesional sebelum menempa nama sebagai seorang pelakon.
Kerjaya sukannya bermula sejak di bangku sekolah menengah, di mana kemahiran lontarannya (pitching) menarik perhatian ramai pencari bakat.
Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Cheongwon, jejaka berusia 40 tahun itu pernah beraksi untuk Hanhwa Eagles dan Doosan Bears, iaitu dua pasukan besbol paling terkemuka di Korea Selatan.
Selepas bertahun-tahun menceburi arena besbol profesional, dia jatuh cinta dengan dunia teater selepas menonton pementasan Finding Kim Jong-wook.
Pada tahun 2007, pelakon siri televisyen My Daughter, Geum Sa-wol itu nekad untuk meninggalkan sukan tersebut bagi memulakan langkah transisi ke bidang lakonan, bermula dengan membintangi muzikal Spring Awakening.
Jackson Wang

SEBELUM menjadi ikon bersama kumpulan GOT7, Jackson Wang asalnya seorang pemain lawan pedang yang mewakili Hong Kong.
Dia berasal daripada keluarga atlet di mana bapanya adalah seorang juara Olimpik dalam sukan lawan pedang.
Penyanyi berusia 32 tahun itu sendiri pernah menduduki tempat ke-11 dalam kedudukan kejohanan dunia remaja.
Keputusan untuk meninggalkan dunia sukan adalah demi mengejar impian dalam industri muzik di Korea. – HIBGLAM
