KASIH sayang penyanyi popular 80-an Datuk ND Lala terhadap anak-anak tidak pernah berkurangan meski kini tinggal berasingan dengan kesemua darah dagingnya itu.
ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 65, menyifatkan empat zuriatnya sebagai sebahagian daripada dirinya sendiri, sekali gus menolak sebarang tanggapan hubungan mereka renggang selepas perpisahan dengan bekas isteri, Fauziah Sarman.
“Anak-anak adalah DNA saya. Perkara itu tidak akan berubah sampai bila-bila.
Mereka lahir daripada kasih sayang saya dan akan kekal menjadi sebahagian daripada diri saya.
“Mana-mana ibu bapa pun akan menyayangi anak tanpa syarat. Saya sentiasa mendoakan mereka tanpa batas hingga akhir hayat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam masa sama, pelantun lagu Syair Cak Pong itu memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas panjang soal peribadi, khususnya melibatkan hubungan dengan anak-anak.
Katanya, fokus kini lebih terarah kepada kerjaya seni berbanding membuka ruang kepada spekulasi yang boleh mengundang salah faham.
“Saya tidak mahu lagi berkongsi atau memberi kenyataan berkaitan isu tersebut kerana lebih selesa bercakap tentang kerjaya.
Saya memilih untuk tidak memberi respons supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. Kalau orang mahu mentafsir, itu hak masing-masing.
“Segala jawapan sebenarnya sudah saya jelaskan dalam kenyataan terdahulu pada tahun 2023,” ujarnya pada majlis pelancaran buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr. Ahmad Nawab di sini, hari ini.
Untuk rekod, ND Lala pernah mendirikan rumah tangga dengan Fauziah Sarman pada 1989 sebelum berpisah pada 2 Ogos 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu penyanyi Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.
Fauziah kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan General Tuan Zainal Abidin pada 22 November tahun lalu. – HIBGLAM
