Ibu Adi Putra meninggal dunia di Singapura

PELAKON, Datuk Adi Putra berkongsi khabar duka kehilangan ibu tercinta, Noor Banoo Khan Mohd yang meninggal dunia kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Berita sedih itu telah dimaklumkan sendiri anak seni kelahiran Singapura itu menerusi satu hantaran dalam Instagram miliknya.

“Assalamualaikum. Duka cita saya ingin maklumkan bahawa, bonda saya Noor Banoo Khan Mohd telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.15 pagi.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Jenazah bonda saya akan disemadikan di Pusara Aman, Singapura pada hari ini selepas waktu Asar,” tulisnya.

Dalam ruangan komen, berita tentang kehilangan bonda pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dihujani ucapan takziah daripada rakan-rakan artis yang turut berkongsi rasa sedih.

Dua hari lalu, Adi yang difahamkan telah dua bulan berada di Arab Saudi atas urusan kerja, ada berkongsi keadaan ibunya yang dimasukkan ke sebuah hospital di Singapura berikutan masalah jantung.

“Hampir dua bulan di Tanah Suci di Arab Saudi. Mendapat panggilan dari Singapura tentang keadaan ibu saya. Mohon doakan ibu saya,” tulisnya menerusi hantaran bertarikh 12 September 2023.

Malah, menerusi hantarannya semalam, pemilik nama sebenar Mohd Hadi Putera bin Halim itu turut memohon doa daripada orang ramai apabila ibunya perlu menjalani prosedur pembedahan jantung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok