GELOMBANG muzik K-pop yang melanda dunia bukan sahaja memberi impak kepada budaya peminat, malah membuka ruang kolaborasi kreatif melangkaui sempadan negara.
Indonesia tidak terkecuali dalam hal tersebut apabila barisan penyanyi berbakat besar berjaya menembusi pasaran Korea Selatan melalui kolaborasi unik yang mendapat perhatian global.
Perkembangan positif ini secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam karier seseorang penyanyi untuk melebarkan lagi bakat ke pentas antarabangsa.
Berikut lima penyanyi Indonesia yang pernah mencatat sejarah bekerjasama dengan bintang ternama dari Korea Selatan.
Afgan, B.I

PENYANYI kegilaan ramai, Afgan pernah mengejutkan peminat apabila muncul dengan lagu Lost As Sea bersama bekas ketua kumpulan iKON, B.I pada 2021.
Kolaborasi itu merupakan satu percubaan berani B.I atau nama sebenarnya Kim Han-bin untuk memberikan nafas baharu kepada lagu asal Illa Illa yang dipetik daripada album studio sulungnya, Waterfall.
Istimewanya, projek berskala global tersebut turut menyaksikan penyatuan vokal lunak Afgan, bersama artis rakaman Britain, Bipolar Sunshine.
Versi remix tersebut bukan sahaja mengekalkan emosi asal lagu itu, malah diperhebatkan menerusi vokal pemilik nama lengkap Afgansyah Reza yang cukup sinonim dengan genre R&B, serta sentuhan artistik daripada Bipolar Sunshine yang terkenal dengan karya-karya indie-pop.
Raisa, Sam Kim

DIVA pop Indonesia, Raisa pernah berpadu suara dengan penyanyi soul terkenal Korea-Amerika iaitu Sam Kim menerusi lagu Someday.
Projek terbabit dianggap sebagai salah satu kolaborasi paling romantik di mana vokal harmoni kedua-duanya berjaya mencipta suasana magis yang membuatkan pendengar terbuai-buai dengan melodi pop balada indah.
Meskipun berdepan dengan cabaran jarak, Sam Kim dan Raisa berjaya menghasilkan keserasian vokal yang cukup harmoni.
Difahamkan, proses rakaman dan perbincangan kreatif dilakukan secara dalam talian, namun kualiti produksi yang dihasilkan tetap setaraf dengan piawaian antarabangsa.
Bagi Sam Kim, kolaborasi tersebut merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan pengaruhnya di pasaran Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia yang mempunyai pangkalan peminat K-Pop yang sangat besar.
Manakala bagi Raisa, bekerjasama dengan artis berbakat seperti Sam Kim membuktikan kualiti muziknya mampu berdiri seiring dengan bintang-bintang global dari Korea Selatan.
Stephanie Poetrie, Jackson Wang

SELEPAS tular dengan lagu I Love You 3000, anak kepada penyanyi Titi DJ iaitu Stephanie Poetri terus mengukuhkan nama di bawah label 88rising.
Dia kemudiannya melancarkan versi remix lagu itu bersama ahli kumpulan GOT7, Jackson Wang pada 2019.
Keserasian vokal mereka bukan sahaja memikat peminat Indonesia, malah tular di seluruh dunia termasuk Korea Selatan.
Jika versi asal menampilkan suara solo Stephanie yang lembut, versi kedua ditambah dengan vokal serak basah Jackson dan bertenaga.
Rich Brian, Chungha

RAPPER muda, Rich Brian meraih perhatian luar biasa apabila berkolaborasi dengan Chungha menerusi lagu These Nights pada 2019.
Berbeza dengan imej rap yang sering dibawakan Rich Brian, These Nights menampilkan sisi berbezanya yang lebih menjurus kepada genre synth-pop dan R&B dengan suntikan elemen retro 1980-an.
Kerjasama Rich Brian dan Chung Ha bukan sahaja menarik perhatian peminat hip-hop Barat, malah mendapat sokongan padu daripada jutaan peminat K-Pop di seluruh dunia.
Sule, Eru

SIAPA sangka pelawak Sule dipilih berkolaborasi dengan penyanyi balada popular, Eru menerusi lagu Saranghaeyo sekitar 2013.
Muzik video lagu itu bukan sahaja menampilkan sisi romantik Eru, malah diserikan dengan gaya jenaka bersahaja bapa kepada penyanyi Rizky Febian itu membuatkan peminat tidak kering gusi.
Apa yang menarik perhatian mengenai lagu Saranghaeyo ini adalah penggunaan lirik dalam tiga bahasa berbeza iaitu Korea, bahasa Inggeris dan Indonesia.
Peminat menyifatkan kolaborasi itu di luar kotak kerana jarang berlaku penyanyi dari Korea Selatan bersetuju untuk bekerjasama dengan pelawak.
Apatah lagi kerjasama itu membabitkan dua negara. – HIBGLAM
